empowerNCER suntik kemahiran luaskan rangkaian perniagaan

Admin
3f951c8f 81fe 402e bb1b 6676629a3eac

MEMULAKAN perniagaan dengan hanya menjual air balang, kini ikon usahawan muda melalui program empowerNCER, ABDUL MATIIN MOHD. SHAHLAN, 28, berjaya mengusahakan perniagaan sendiri di premis miliknya dekat Teluk Kumbar.

Baru-baru ini, pemilik Teenfix Studio itu berkesempatan berkongsi pengalaman jatuh dan bangun beliau dalam dunia perniagaan sempena wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar SITI NURATIKAH RAHMAT.

Menurut Abdul Matiin, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Siti Maisarah Ismail, 28.

“Saya menetap di bahagian pulau, setelah berkahwin saya dan isteri berpindah ke Seberang Jaya dan memulakan perniagaan air balang di pasar malam dan di tepi-tepi jalan.“Setelah berlakunya pandemik COVID-19, perniagaan saya sedikit sebanyak terjejas dek perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikeluarkan sewaktu itu.

“Kemudian, menjelang tahun 2021 baru saya dimaklumkan melalui kenalan tentang program empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan bagi Daerah Timur Laut dan tanpa berfikir panjang saya mengambil keputusan menyertai program tersebut,” ujarnya yang memiliki diploma dalam bidang teknikal.

Mengulas lanjut, Abdul Matiin berkata bahawa sekitar tahun 2022, beliau telah berjaya membuka premisnya sendiri dekat Teluk Kumbar melalui perniagaan perkhidmatan pembaikan telefon bimbit.

“Melalui bimbingan yang telah diberikan oleh barisan guru dan kenalan di program empowerNCER, syukur alhamdulilah saya jadi lebih yakin untuk mengusahakan perniagaan sendiri.

“Selain itu, bimbingan yang diberikan sangat membantu dalam mengembangkan lagi perniagaan ke peringkat lebih tinggi dan secara tidak langsung menambah tahap keyakinan saya.

“Berbekalkan latihan dalam kursus pembaikan telefon bimbit, kini saya telah berjaya menjadi usahawan telefon bimbit dan memiliki premis sendiri serta mempunyai empat kakitangan berstatus tetap.

“Rekod jualan juga berjaya mencecah RM85,000 pada Disember lepas, dan lebih membanggakan saya turut diberikan Anugerah Ikon Lelaki Terbaik Program empowerNCER Daerah Timur Laut bagi tahun 2022,” jelasnya.

10f5c4af 734a 4991 b624 1e8aea7203e5
PEMBAIKAN peranti dilakukan dengan teliti.

Tambah Abdul Matiin, perkhidmatan pembaikan telefon yang ditawar di premisnya adalah pada harga berpatutan mengikut kadar pasaran semasa.

“Antara perkhidmatan yang disediakan adalah jualan pelbagai jenama telefon pintar terutamanya iPhone, pembaikan LCD (paparan hablur cecair), penggantian bateri, pemindahan data dan juga aksesori.

“Sebagai makluman, kakitangan di Teenfix Studio mahir dalam bidang pembaikan, saya turut berkongsi ilmu pengetahuan yang diperoleh melalui latihan yang dijalani, apabila sudah mahir baru saya benarkan mereka membaiki bagi menjamin kepuasan hati pelanggan,” katanya yang aktif mempromosi Teenfix Studio melalui platform media sosial TikTok.

Mengakhiri sesi wawancara, Abdul Matiin sempat berkongsi cabaran dan harapan beliau dalam menjayakan lagi perniagaannya pada masa hadapan.

“Saya seorang yang sukakan cabaran serta sering berpesan kepada diri sendiri agar tidak kekal di zon selesa, buktinya walaupun pelbagai liku perlu dihadapi, saya tetap cekal mencapai matlamat dan visi hidup.

“Oleh itu, saya berharap dengan kejayaan yang telah ditonjolkan ini, ia mampu memberi inspirasi kepada usahawan muda lain yang ingin memulakan perniagaan, serta jangan malu dan segan untuk menyertai program empowerNCER bagi meluaskan rangkaian perniagaan.

“Jika ada rezeki, saya dan isteri berhasrat untuk meluaskan perniagaan TeenFix Studio dengan membuka beberapa cawangan baru di sekitar Pulau Pinang kelak,” kongsinya menutup bicara.