Era baru pembekalan air Pulau Pinang

PENANTI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini merasmikan pembukaan semula Empangan Mengkuang yang ditutup bagi projek pembesaran dan penyenggaraan sejak tahun 2011.

Serentak itu, beliau mewakili Kerajaan Negeri turut menyerahkan Empangan Mengkuang kepada Perbadanan Belakan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang merupakan operator bertanggungjawab untuk mengawal operasi dan pengurusan empangan berkaitan.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Kon Yeow menyifatkan pembukaan semula Empangan Mengkuang yang diperbesarkan sebagai sejarah penting bagi pembekalan air di negeri ini.

Chow Kon Yeow bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri bergambar kenang-kenangan selepas merasmikan pembukaan semula Empangan Mengkuang.

Menurutnya, empangan tersebut yang kini berkeluasan 3.4 kilometer (km) persegi mampu menampung kapasiti efektif air sebanyak 86.4 bilion liter berbanding hanya 22 bilion sebelum ini.

“Projek Pembesaran Empangan Mengkuang bermula lebih sembilan tahun lalu ketika Pulau Pinang bersetuju untuk berhijrah kepada Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Nasional oleh Kerajaan Persekutuan atau NWSIRI.

“Malah pada 26 Oktober 2020, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menyerahkan Empangan Mengkuang secara rasmi kepada Kerajaan Negeri sebaik sahaja selesai kerja-kerja pembesaran bagi Fasa 1 dan Fasa 2A.

“Kita mengambil alih empangan ini kerana kita memerlukannya untuk mengurangkan risiko kekurangan air pada musim kemarau yang berpanjangan,” kata beliau pada majlis tersebut di sini sebentar tadi.

Empangan Empangan yang Diperbesarkan kini mampu menampung kapasiti efektif air sebanyak 86.4 bilion liter.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Menurut Kon Yeow, dengan pembukaan semula Empangan Mengkuang, Pulau Pinang mempunyai empangan simpanan strategik kemarau yang lebih besar bagi menangani keperluan bekalan air yang semakin meningkat dalam abad ke-21.

“Empangan ini diperbesarkan tanpa kos langsung kepada rakyat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana ia dibiayai oleh geran Kerajaan Persekutuan bernilai RM1.2 bilion merangkumi empat fasa,” ulasnya.

Walau bagaimanapun Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri masih menunggu pelaksanaan Fasa 2B dan Fasa 2C yang amat penting untuk memastikan projek simpanan strategik kemarau dapat berfungsi secara maksimum.

“Fasa 2B adalah melibatkan pemasangan saluran paip air mentah sepanjang 7km dari Rumah Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua yang kini masih di peringkat pengambilan tanah.

Pemandangan indah Empangan Mengkuang jadi tarikan umum untuk beriadah dan berekreasi.

“Fasa terakhir adalah 2C yang melibatkan pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi yang kini dalam proses kajian kebolehlaksanaan untuk membina baraj baharu di Rantau Panjang dan kajian ini tertakluk kepada pertimbangan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jaseni menyatakan bahawa Empangan Mengkuang yang diperbesarkan adalah komponen teras Skim Simpanan Air Pam Mengkuang yang berfungsi sebagai simpanan strategik kemarau Pulau Pinang pada musim kering.

“Tidak seperti Empangan Air Itam dan Teluk Bahang yang menyimpan air dari kawasan tadahan berdekatan, Empangan Mengkuang menyimpan air mentah yang dipam dari sungai pada musim hujan.

“Air mentah ini kemudian dapat dilepaskan dari empangan untuk digunakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pada musim kemarau,” ujarnya.

Tambah beliau, LRA Sungai Dua merupakan loji rawatan air terpenting di negeri ini kerana menghasilkan lebih 80 peratus air terawat setiap hari.

“Dalam keadaan normal, PBAPP mengabstrak air mentah dari Sungai Muda di muka sauk lahar Tiang Pulau Pinang untuk rawatan di LRA Sungai Dua.

“Namun, pada musim kemarau ketika paras air Sungai Muda adalah rendah maka simpanan air mentah Empangan Mengkuang akan berfungsi,” jelasnya lanjut.

Chow Kon Yeow menerima dokumen penyerahan Empangan Mengkuang daripada Ir. Jaseni Maidinsa.

daripadapada itu, Jaseni menegaskan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang diberikan kelulusan khas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka kawasan empangan kepada orang awam bagi tujuan riadah dan rekreasi.

“Ini kerana empangan merupakan kawasan keselamatan tetapi kami ingin memaklumkan bahawa semua empangan di negeri ini mempunyai pemandangan indah yang sesuai untuk lokasi pelancongan.

“Empangan ini hanya dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 malam mengikut ketetapan masa yang ditetapkan oleh MKN. Jadi, kita harap penduduk Pulau Pinang dapat memahami keadaan ini,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil alih semula pengendalian operasi dan penyelenggaraan Empangan Mengkuang yang diperbesarkan daripada Kerajaan Persekutuan pada 26 Oktober 2020.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Air dan Pembetungan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Azizah Ariffin yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari.

Penyerahan adalah melibatkan Fasa 1 dan Fasa 2A membabitkan pembinaan empangan dan penaiktarafan Rumah Pam Mak Sulong.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS