Escape buka peluang kerja kepada warga tempatan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

TELOK BAHANG – Tarikan terbaru di Pulau Mutiara yang berasaskan alam semulajadi dan tradisional, Taman Tema Escape (Escape) bakal menyediakan 114 peluang pekerjaan (fasa 1) kepada penduduk tempatan khususnya.

Malah, pada tempoh lima tahun dari sekarang iaitu dalam usaha melengkapkan fasa-fasa berikutnya, difahamkan ia bakal membuka tambahan 500 peluang pekerjaan lagi.

Ini tidak termasuk perkembangan sektor-sektor lain seperti pengangkutan teksi, kedai makan, pengusaha kedai dan lain-lain di kawasan sekitar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Escape bernilai RM18 juta dapat direalisasikan hasil pentadbiran kerajaan yang mengamalkan ‘sistem bersih’ kini.

“Saya dikhabarkan Pengurus Besar Escape, Sim Choo Kheng bahawa beliau mempunyai hasrat membina sebuah taman tema di Pulau Pinang sejak tahun 2001 lagi, namun, beliau ‘kurang faham’ bagaimana sistem kerja kerajaan pada masa itu.

“Lalu, beliau ke telah Timur Tengah dan Eropah untuk membina taman tema di sana. Sekarang, hasrat beliau direalisasikan selepas terbentuknya kerajaan baru yang mengamalkan sistem yang bersih,” katanya pada Majlis Perasmian Escape di sini baru-baru ini.

Pelbagai cabaran seperti memanjat dinding, lumba tiub tayar, terjun, laluan musang dan lain-lain disediakan di Escape selain paparan konsep menarik penanaman rumput di atas bumbung.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Laulintas, Chow Kon Yeow; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus.

Dalam pada itu, Choo Kheng menyatakan bahawa ilham pembetukan taman tema tersebut adalah daripada kisah kehidupan kanak-kanak kampung zaman dahulu.

“Dahulu, kita bermain dengan permainan tradisional yang dicipta sendiri. Semuanya berkaitan dengan alam semulajadi.

“Pada waktu itu, kanak-kanak adalah ‘lebih lasak’. Tidak seperti sekarang lebih berminat duduk di hadapan komputer yang sekaligus mengundang kepada masalah obesiti,’’ ujarnya.

Harga tiket Escape adalah bernilai RM45 untuk kanak-kanak berusia antara 4 hingga 12 tahun, RM60 (13 hingga 60 tahun), RM45 (60 tahun ke atas dan percuma untuk kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah. Warganegara Malaysia yang membawa kad pengenalan adalah layak memperoleh diskaun 20 peratus. Tempahan juga boleh dibuat melalui www. escape.my.

DUA pengunjung mencuba salah satu aktiviti lasak Escape.
DUA pengunjung mencuba salah satu aktiviti lasak
Escape.

 

SALAH satu aktiviti yang menguji keberanian para pengunjung.
SALAH satu aktiviti yang menguji keberanian para
pengunjung.