Escape terima Anugerah Tarikan Pelancongan Terbaik Malaysia, Tahniah!

GEORGE TOWN – Taman Tema Escape yang terletak di Teluk Bahang baru-baru ini dijulang sebagai penerima Anugerah Pelancongan Terbaik Malaysia bagi Kategori Tarikan Pelancongan Atau Taman Tema Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Escape, Sim Choo Kheng berkata, anugerah tersebut adalah sangat istimewa kerana buat pertama kalinya produk tarikan pelancongan di Pulau Pinang menerima pengiktirafan berprestij itu.

“Escape telah disenaraikan sebagai taman tema nombor satu di Malaysia, dan perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan ia kekal menjadi produk pelancongan terbaik negara.

“Lagipun, Kerajaan Negeri sedia ada banyak memberi sokongan sehinggakan Taman Tema Escape berjaya menjadi salah satu produk pelancongan yang memacu industri pelancongan negeri.

“(Dan) pastinya, misi seterusnya adalah menjadikan Escape destinasi unggul pilihan pelancong bukan sahaja di Pulau Pinang malah ke peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Menurut Choo Kheng, Taman Tema Escape dibangunkan di atas bekas tapak pembinaan milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) seluas 17.8 hektar di Teluk Bahang.

Dalam pada itu, Guan Eng turut memuji kesungguhan Kumpulan Sim Leisure selaku pengendali Taman Tema Escape serta menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas kejayaan yang diraih.

“(Selain itu), Taman Tema Escape berjaya menjadi taman tema terbaik di Malaysia melalui penilaian aplikasi percutian antarabangsa TripAdvisor.

“Selepas ini, fasa ketiga dengan mengadakan gelongsor air terpanjang di dunia bakal dibangunkan di sini selain lebih 20 tarikan aktiviti lain di (Taman Tema) Escape,” ujarnya.