Komited jadikan Pulau Pinang lebih maju, lebih baik

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited mempertingkatkan prasarana di Pulau Pinang selaras dengan usahanya dalam menjadikan negeri ini lebih mesra untuk didiami dan sebuah bandar bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, meskipun kadang-kala keputusan dibuat seringkali menerima kritikan hebat dan bantahan daripada golongan tertentu, tetapi sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, pihaknya akan teruskan pelaksanaan demi keselesaan rakyat Pulau Pinang serta generasi akan datang.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita (Kerajaan Negeri) mesti membuat suatu perancangan masa depan yang berani, walaupun kadang-kala keputusan-keputusan untuk menaik taraf projek seperti ini ditentang dan dikritik pihak tertentu.

“Kerana sebuah kerajaan yang baik, bukan sahaja perlu ingat untuk pengundi sekarang, kita juga perlu mengambil kira generasi yang akan lahir nanti.

“Kita perlu lakukan apa yang difikirkan perlu demi menjadikan Pulau Pinang lebih maju dan lebih baik,” ujarnya pada Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Jalan Brown di sini 15 Mac lalu.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan Ir. A. Rajendran (Pengarah Kejuruteraan MBPP).

Projek menaik taraf Jalan Brown dan kawasan sekitarnya telah bermula pada 7 September 2016, dan siap pada 31 Januari lalu dengan menelan belanja sebanyak RM5.97 juta.

Mengulas lanjut berhubung kerja-kerja menaik taraf tersebut, Guan Eng menyatakan bahawa komponen utama projek adalah membabitkan pelebaran Jalan Brown sepanjang 900 meter (m) serta menaik taraf persimpanganpersimpangan di antara Jalan Brown, Jalan Utama, Jalan Tunku Abdul Rahman serta Jalan D.S. Ramanathan.

“Di samping itu, sistem saliran dan laluan pejalan kaki turut ditambah baik.

“Usaha MBPP dan Kerajaan Negeri untuk menangani masalah lalu lintas secara berterusan dengan melaksanakan projek-projek jangka pendek, sederhana dan panjang telah terbukti berkesan dan kita percaya semua perancangan ini membawa manfaat buat penduduk Pulau Pinang,” jelasnya.