Exco bentang pelan induk tebatan banjir SPT

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Pelan Induk Tebatan Banjir dan Saliran Mesra Alam Seberang Perai Tengah (SPT) mampu mengurangkan kawasan banjir sedia daripada 55 kilometer persegi kepada 15 kilometer persegi atau menyamai 82 peratus lokaliti di daerah berkenaan, jika dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun mulai 2017.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pelan tersebut akan dijadikan rujukan utama kepada sektor awam dan swasta dalam melaksanakan pembangunan masa depan negeri.

Jelas beliau, tujuan utama kajian tersebut adalah bagi menyediakan suatu pelan jangka panjang (2030) bagi mengatasi masalah banjir serta sistem saliran sedia ada dan akan datang, dengan mengambil kira kriteria aspek kawalan kualiti serta kuantiti selaras dengan keperluan Manual Saliran Mesra Alam (MASMA).

“Setelah siap PIP (Pelan Induk Pengangkutan), kini Kerajaan Negeri mewujudkan suatu pelan induk untuk menangani isu banjir kilat mengikut daerah pula.

“Pelan induk ini akan mengurangkan 82 peratus kawasan yang seringkali dilanda banjir, merangkumi pelindungan sehingga ke tahap 50 tahun ARI (Ulang Tahun Kejadian),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta, tiga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Tebatan Banjir, Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang). Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok hadir sama bagi membentangkan pelan berkaitan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, cadangan pelaksanaan pelan induk peringkat SPT sahaja dianggarkan menelan belanja kira-kira RM1 bilion.

Difahamkan, Pelan Induk Tebatan Banjir dan Saliran Mesra Alam Daerahdaerah Negeri Pulau Pinang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018.

Sebelum itu, Sabri membentangkan pelan berkenaan sebagaimana diumum oleh Kon Yeow.

Pelan tersebut, menurut beliau, memuatkan peta kawasan banjir berbahaya, pelan cadangan aras ketinggian tapak pembangunan masa depan, informasi kelebaran rizab sungai dan parit serta syor pengindahan landskap koridor sungai.

“Sistem informasi diekstrak menjadi GIS (sistem maklumat geografi)… meliputi kawasan yang terdedah kepada bahaya banjir berserta aras banjir untuk kalangan lima tahun hingga 100 tahun Average Recurrence Intervals (ARI) untuk guna tanah semasa dan akan datang.

“(Ketinggian) aras platform cadangan untuk sebarang projek pembangunan baru turut disediakan untuk rujukan semua sektor awam dan swasta, supaya bebas daripada masalah saliran dan banjir kelak. “Malah, berdasarkan kajian JPS, pelaksanaan pelan induk secara menyeluruh di SPT dijangka mengurangkan hampir 100 peratus risiko banjir, yang membabitkan kira-kira 12,500 penduduk terbabit kelak,” jelas Sabri.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);