Exco desak pembangkang jelas di mana 9,444 RMM

GEORGE TOWN – Pembangkang Pulau Pinang didesak menjelaskan secara terperinci mengenai rancangan Kerajaan Pusat melalui dua agensinya, JKP Sdn. Bhd. dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang dilaporkan hendak membina 9,444 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Pulau Pinang.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo bagaimanapun berkata, hasil semakannya mendapati bahawa terdapat unit rumah mewah yang mencecah RM1.8 juta di bahagian pulau dan RM800,000 di bahagian Seberang Perai.

“Ada antara projek-projek cadangan tersebut hendak dibangunkan di atas tanah yang diperoleh melalui pengambilan tanah, yang mana sepatutnya jenis perumahanperumahan yang sepatutnya dibina di atas tanah tersebut adalah perumahan awam, iaitu (rumah) kos rendah atau kos sederhana rendah, tetapi ini tidak dibuat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat membidas pihak pembangkang pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Jagdeep turut mendedahkan hasrat Kerajaan Pusat untuk menaikkan harga siling rumah kos rendah daripada RM42,000 kepada RM65,000, dan rumah kos sederhana rendah dinaikkan daripada RM72,500 kepada RM100,000.

Menurutnya, hasrat itu diumumkan dalam Majlis Perumahan Negara yang bersidang pada 21 Ogos lalu, di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Ini sudah tentu akan membebankan golongan yang berpendapatan rendah, berbanding dengan pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk terus kekalkan harga siling kos rendah dan kos sederhana rendah pada (harga siling) RM42,000 dan RM72,500,” responsnya menjawab bangkangan ADUN Permatang Berangan, Omar Abdul Hamid.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid menuduh Kerajaan Negeri meluluskan projek pemajuan perumahan mencecah jutaan ringgit seunit, dalam DUN pada bulan November tahun lalu.

Membidas tuduhan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mendedahkan, pemajuan 163 unit rumah mewah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di D’Residence Bayan Mutiara dekat Bayan Baru yang berharga antara RM800,000 hingga RM3.5 juta diluluskan pada 5 Oktober 2006, iaitu semasa Kerajaan Negeri masih di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).