Pertahan mandat rakyat, elak P. Pinang bankrap – KM

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) menyangkal dakwaan bahawa lebih banyak projek tebus guna tanah diluluskan di bawah pemerintahan (Kerajaan Negeri) kini.

Exco Kerajaan Tempatan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, projek tebus guna tanah diluluskan Kerajaan Negeri PH adalah seluas 60 ekar sahaja, berbanding 3,241 ekar oleh pemimpin BN sebelum tahun 2008.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa cadangan tebus guna tanah seluas 4,100 ekar adalah untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP), iaitu rancangan bersepadu bagi menangani masalah kesesakan trafik di negeri ini.

“Kerja-kerja tambakan laut seluas 4,100 ekar akan dilaksanakan di Pulau Pinang esok (3 Disember) memandangkan permohonan tebus guna tanah telah ‘diluluskan’.

“Saya akan minta kontraktor memulakan kerja (tambakan laut) esok memandangkan ‘mereka’ kata 4,100 ekar telah diluluskan,” sindir Kon Yeow ketika diminta memberi maklum balas mengenai dakwaan pihak-pihak tertentu yang menyatakan bahawa tebus guna tanah seluas 4,100 ekar untuk PIP telah diluluskan sebelum ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bertarikh 2 Disember lalu bersamasama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) serta Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti).

Berdasarkan undang-undang, Kerajaan Negeri mesti mendapatkan kelulusan melalui Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) di bawah Akta Perancangan Desa dan Bandar 1976 jika projek tambak laut adalah melebihi 100 hektar.

Sebelum itu, Guan Eng mendakwa pentadbirannya difitnah kerana pihak pembangkang dan beberapa parti politik negeri ini mahu menutup kelemahan Kerajaan Negeri era BN, dulu.

Pada tahun 1999, katanya, pemimpin BN pernah meluluskan projek tambakan laut seluas 940 ekar di Tanjung Pinang dengan harga serendah RM1 sekaki persegi kepada satu pihak sahaja, berserta syarat hanya 10 peratus tanah tebus guna tersebut diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

“Di Pulau Pinang, nak dapat tanah RM1 sekaki persegi, saya rasa kita (Kerajaan Negeri) perlu balik ke tahun 1786, iaitu semasa Kapten Francis Light datang ke Pulau Pinang,” sindir beliau.

Tambah Guan Eng, tanah tebus guna seluas 151 ekar diserahkan kepada Kerajaan Negeri hari ini pun adalah hasil
rundingan bersama dengan syarikat pemaju terbabit, E&O.

“Pemberian (tebus guna) tanah tersebut menunjukkan betapa murahnya Barisan Nasional (BN) meluluskan tebus guna tanah RM1 sekaki persegi,” jelasnya.

Tegas beliau, seluas 744 ekar tambakan laut telahpun dilakukan di negeri ini, sungguhpun Kerajaan Negeri era BN dahulu meluluskan 3,241 ekar projek tebus guna termasuk di Tanjung Pinang.

“Baki 2,497 ekar projek tebus guna tanah yang masih belum dilaksanakan sehingga kini adalah Fasa 2 Tanjung Tokong membabitkan 891 ekar dan 1,606 ekar di Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU).

“Itu, tidak mengambil kira 1,120 ekar tanah lain yang turut ditebus guna oleh pemimpin BN juga kerana melibatkan tujuan awam,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng memberitahu bahawa pembangkang sepatutnya mengemukakan suatu usul supaya menangguhkan rancangan penambakan laut “yang masih belum diluluskan”, bukan sebaliknya. Beliau turut mencadangkan suatu pra-syarat membabitkan komitmen Kerajaan Persekutuan dimuatkan dalam usul pembangkang tersebut, jika mahu menangguhkan kerja-kerja tambakan laut yang telahpun diluluskan oleh Kerajaan Negeri terdahulu berkaitan.

Guan Eng berkata, “pra-syarat bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberikan bayaran indemniti penuh (iaitu bayaran ‘back-to-back’) kepada Kerajaan Negeri untuk semua bayaran pampasan bagi penambakan laut yang ditangguhkan,” sepatutnya turut dimuatkan dalam usul pembangkang.

Isu tebus guna tanah ini meledak dalam media serta mendapat perhatian banyak pihak, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 20 November lalu menerima suatu usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Sr. Muhamad Farid Saad.

Wakil pembangkang itu mengemukakan suatu usul supaya semua projek tebus guna tanah ditangguhkan.

Usul itu akhirnya ditolak oleh majoriti 23 ADUN Pakatan Harapan sungguhpun mendapat sokongan ADUN Teh Yee Cheu daripada DAP.

Lima ADUN PKR lain, ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen, Dr. Norlela Ariffin (Penanti), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr. T. Jayabalan (Batu Uban) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk) mengambil sikap berkecuali.

“Tidak ada seorang pun daripada ADUN PKR (yang) mengambil keputusan itu bangun untuk membahaskan usul tersebut.

“Sebaliknya, Ketua Whip PKR, Ong Chin Wen hanya memberitahu seorang pemimpin kebangsaan PKR tentang niat berkecuali, tetapi tidak pula memberitahu Exco-Exco PKR atau Timbalan Ketua Menteri I, seolah-olah ia adalah undi tidak percaya beliau terhadap pemimpin PKR Negeri,” tegasnya.

Guan Eng dalam reaksi spontan mengkritik keras tindakan ADUN-ADUN berkenaan kerana didakwa boleh mengakibatkan Kerajaan Negeri hari ini bankrap.

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa semua ADUN PKR terbabit masih dianggap sebagai sebahagian daripada anggota Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Hanya, Yee Cheu seorang sahaja mengaku tindakannya itu merugikan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, serta bersedia menerima sebarang tindakan tatatertib yang ditentukan oleh pemimpin partinya.

Susulan itu, Guan Eng menerima kritikan media dan banyak pihak kerana tidak menghormati perbezaan tindakan yang dilakukan oleh keenam-enam ADUN terbabit.

Guan Eng memberitahu bahawa beliau lebih rela dikritik demi mempertahankan mandat yang diberikan oleh majoriti rakyat, daripada dikenang mengakibatkan Kerajaan Negeri menghadapi risiko bankrap kerana tunduk pada usul pembangkang tersebut.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);