Tubuh 3 pasukan Briged Wanita, harapan ADUN Air Itam

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berharap sekurang-kurangnya tiga pasukan Briged Wanita dapat ditubuhkan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkaitan bagi membolehkan pelaksanaan aktiviti membabitkan golongan Hawa dapat dilaksanakan secara berkesan.

Katanya, menerusi perancangan tersebut, beliau menyasarkan jumlah keahlian dapat mencapai 80 ahli.

“Kita perlukan golongan wanita untuk samasama menjalankan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

“Pendekatan ini adalah amat penting dalam memartabatkan golongan wanita dan juga pendedahan secara berterusan mengenai hak-hak kesamarataan,’’ katanya pada penganjuran Karnival Rakyat DUN Air Itam dan Parlimen Bukit Gelugor di Padang Flat Harmoni di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh. Penganjuran tersebut adalah bersempena pelancaran Briged Wanita Jalan Masjid Negeri dan sebelum itu, turut dilancarkan, Briged Wanita Kampung Melayu.

Serentak itu, Hon Wai turut memperkenalkan Program Pertanian Bandar dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dalam kalangan penduduk setempat.

“Pertanian bukan hanya boleh berjaya di luar bandar, sebaliknya ia juga boleh dijalankan di bandar. Kita galakkan penduduk menanam untuk kegunaan sendiri,” jelas beliau