Exco gembira Pusat beri tambahan RM5.25 juta naik taraf 21 lif Rumah Pangsa Padang Tembak

Admin
(Dari kiri) MOHD. Fauzy Mohd. Yusoff, Jason Ong Khan Lee, Jagdeep Singh Deo, Wong Hon Wai, ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan seorang pegawai Bahagian Perumahan Negeri lain di perkarangan Rumah Pangsa Padang Tembak dekat KADUN Air Itam, di sini pada pagi tadi.

AIR ITAM – Kerajaan Persekutuan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 pada 1 Jun lepas mengumumkan kelulusan RM5.25 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan 21 unit lif di tujuh blok Rumah Pangsa Padang Tembak di sini.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, beliau begitu gembira mengenai pengumuman itu, walaupun sedar perbezaan politik kepartian antara Kerajaan Negeri dan Pusat.

“Dalam hal perbekalan dan penyelenggaraan perumahan, maka kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) akan terus berhubung dan berbincang dengan Kerajaan Pusat, tanpa mengira (sentimen perbezaan) politik.

“Dan, saya gembira untuk menyatakan sehingga hari ini, kita (Pulau Pinang) mendapat kerjasama daripada pihak Kerajaan Pusat melalui pelbagai saluran kewangan untuk pelaksanaan pelbagai skim penyelenggaraan perumahan di Pulau Pinang,” ujarnya ketika memantau keadaan kemudahan asas di kawasan rumah pangsa berkenaan di sini pada 22 Jun 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Pengurusan Perumahan, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff; dan seorang pegawai Bahagian Perumahan Negeri lain antara yang turut serta dalam pemantauan tersebut.

Di samping itu, Jagdeep memberitahu bahawa sehingga 21 Jun 2020 sebanyak 75 permohonan projek penyelenggaraan perumahan awam telah diluluskan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan peruntukan persekutuan sejumlah RM31.7 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu Kerajaan Negeri sehingga Jun 2020 telah membelanjakan RM190,551,246.60 untuk projek penyelenggaraan perumahan awam (selenggara); RM885,000 untuk penyelenggaraan perumahan awam (pembangunan); RM23,453,935.77 untuk penyelenggaraan perumahan pihak berkuasa tempatan (PBT); dan RM35,355,911.22 (melalui) Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

“Ini, menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, suatu jumlah besar kira-kira suku bilion ringgit atau sebanyak RM250,246,093.59 telah kita (Kerajaan Negeri) belanja untuk bantu orang awam daripada aspek penyelenggaraan (rumah pangsa),” jelasnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Oleh : ZAINULFAQAR BIN YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI