Ahmad Rizal lapor diri sebagai TSUK Pengurusan hari ini

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan) baharu, Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah melapor diri serta mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini petang tadi.

Turut sertai acara kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Mas Ayu Siti Asmah Hani Zainul Abidin dan Muhamad Azrai Mohamad Zaini (Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri).

Ahmad Rizal, 52, dilantik sebagai TSUK berkuat kuasa pada hari ini bagi menggantikan Mohd. Ali Sebran yang meninggal dunia pada bulan Ramadan baru-baru ini.

Sebelum pelantikan berkaitan, Ahmad Rizal merupakan Setiausaha Bahagian BPSM Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, selama kira-kira tujuh tahun.

Beliau pernah menjawat Ketua Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Dasar Sektoral dan Hal Ehwal Pelaburan pada tempoh 16 Disember 2001 hingga 7 Januari 2013, dan Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Rundingan Sektor Barangan Perindustrian, Pembangunan dan Peraturan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) (1 November hingga 16 Disember 2011).

Pada awal pagi tadi, Ahmad Rizal turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI