Exco gesa Kementerian percepat kelulusan peruntukan baiki jalan persekutuan di Bukit Lama

Admin

BALIK PULAU – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari menggesa Kementerian Kerja Raya mempercepat kelulusan peruntukan bagi projek membaik pulih runtuhan di tebing jalan laluan Bukit Lama, dari Bayan Lepas ke Balik Pulau.

Katanya, kos pembaikan serta selenggara jalan persekutuan itu patut dibiayai oleh Kerajaan Pusat sendiri.

Jelasnya lagi, kira-kira RM1.7 juta diperlukan kos bagi membaik pulih cerun bagi kedua-dua jalan berkenaan iaitu Seksyen 28.75 dan 28.68.

“Laporan mengenai runtuhan telah dibuat selepas pegawai kejuruteraan cerun dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat datang bersama perunding untuk melihat dan membuat laporan pada 24 Oktober lalu.

“Saya juga telah berjumpa dengan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) pada Sabtu (3 November) lepas untuk memaklumkan perkara ini, dan pihak Menteri telah mengambil maklum dan akan memberi perhatian terhadap isu ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) memang amat mengharapkan kelulusan Kementerian Kewangan secepat mungkin kerana penutupan satu lorong jalan memberi kesan kepada ekonomi penduduk di Balik Pulau,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke lokasi runtuhan, sebentar tadi.

Zairil meninjau keadaan runtuhan cerun di laluan Bukit Lama, dari Bayan Lepas ke Balik Pulau.

Hadir sama, Jurutera Daerah bagi Jabatan Kerja Raya Daerah Barat Daya, Samsulnizam Zulkaplli; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Balik Pulau, David Ngah serta wakil-wakil komuniti tempatan.

Difahamkan, pada 23 Oktober lalu, tebing di jalan laluan Bukit Lama dari Bayan Lepas ke Balik Pulau mengalami runtuhan dipercayai disebabkan hujan lebat melebihi dua jam.

Ekoran kejadian itu, hanya satu lorong di laluan terbabit dibuka dan kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan jalan berkenaan.

Sementara itu,  Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Gooi Seong Kin pada sidang media sama memaklumkan bahawa penutupan satu lorong di laluan tersebut telah menjejaskan kegiatan ekonomi penduduk di Balik Pulau.

“Selaku Ahli Majlis MBPP, saya terima banyak aduan daripada warga Balik Pulau bahawa ekonomi mereka terjejas terutamanya bagi sektor pembinaan kerana kenderaan berat tidak lagi boleh melalui jalan ini.

“Disebabkan itu, pihak syarikat terpaksa mengguna lori kecil menyebabkan harga bagi barang-barang pembinaan meningkat sebanyak 10 peratus.

“Oleh itu, penduduk berharap agar Kerajaan Negeri dapat membantu menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera agar aktiviti ekonomi penduduk pulih seperti biasa,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS