Projek pengkomposan di sekolah mampu kurangkan beratan sampah ke tapak pelupusan

Admin

BERAPIT – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini melancarkan projek pengkomposan sisa makanan menggunakan mesin Economical Food Waste Composter (EFWC) di sekolah dalam usaha mengurangkan sampah dari sisa makanan.

Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Cheong Heng ketika berucap mewakili Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, projek berkenaan yang dilaksanakan dengan usahasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Damai, Bukit Mertajam adalah bertujuan untuk mendidik para pelajar mengenai mengasingkan sisa makanan daripada dibuang ke tapak pelupusan.

“Selain mengurangkan beratan sampah ke tapak pelupusan, program ini jug mampu menjadi platform untuk para pelajar menimba ilmu mengenai kaedah memproses sisa makanan menjadi kompos menggunakan mesin EFWC.

“Bagaimanapun, projek ini masih lagi di peringkat percubaan dan pihak sekolah diminta untuk memantau dan mencatat segala maklumat yang diperlukan bagi kajian keberkesanan penggunaannya,” katanya semasa melancarkan Projek Pengkomposan dan EFWC dekat SMK Jalan Damai, di sini sebentar tadi.

Kompos yang berjaya dihasilkan melalui mesin EFWC.

Hadir sama, Ketua Projek Pengkomposan UPSI, Profesor Madya Dr. Che Zalina Zulkifli; Pengetua SMK Jalan Damai, Lee Cheah Kuen; Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jalan Damai, Lisa Wong Seew Lee, ketua-ketua jabatan, guru-guru serta para pelajar.

Difahamkan, mesin EWFC yang berharga RM2,700 disumbangkan oleh Cheong Heng kepada SMK Jalan Damai ekoran komitmen tinggi yang ditunjukkan pihak sekolah sepanjang sembilan tahun menyertai program-program hijau anjuran MPSP.

Justeru, Cheong Heng menzahirkan harapan agar pihak sekolah dapat memberikan kerjasama bagi menjayakan program pengkomposan sisa makanan sekaligus dapat membantu mengurangkan kos pengurusan sampah oleh MPSP yang mencecah kira-kira RM104.8 juta pada tahun lalu.

“Adalah diharapkan supaya warga SMK Jalan Damai dapat mengamalkan sisa sifar dan seterusnya menjadi kepada sekolah-sekolah lain untuk melaksanakan perkara yang sama.

“Oleh itu, bagi tahun 2019, satu hadiah khas akan diberikan kepada sekolah-sekolah yang berjaya melaksanakan pengkomposan berterusan dan mencapai sisa sifar,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS