Exco gesa Pusat ringan syarat pembeli rumah pertama

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

KEBUN BUNGA – Kerajaan Persekutuan disyor melupuskan bayaran deposit 10 peratus atas harga jualan hartanah bagi semua pembeli rumah kali pertama di tanah air ini.

Exco Perancang Bandar & Desa Dan Perumahan, Jangdeep Singh Deo berkata, langkah itu adalah demi memudahkan semua pihak khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Deposit ini seharusnya dilupuskan sepenuhnya atau dikurangkan menjadi lima peratus sahaja.

“Langkah ini adalah lebih baik dan wajar bagi membantu pembeli kali pertama untuk memiliki rumah jika nak dibandingkan dengan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 7 April lalu,” ujarnya ketika mengulas berhubung pelaksanaan skim berkenaan di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi membiayai skim berkaitan yang bertujuan membantu golongan berpendapatan RM10,000 dan ke bawah dengan melibatkan sumbangan sebanyak 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000 (yang mana lebih rendah) kepada pembeli rumah pertama yang berharga kurang daripada RM500,000.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, mengikut Bank Negara Malaysia (BNM), kadar penolakan pinjaman perumahan kali pertama ialah sebanyak 60 peratus.

“Jika ini berlaku, saya tak fikir adakah mungkin bagi mereka yang tidak dapat membayar deposit (10 peratus) untuk mendapatkan pinjaman.

“Untuk menyelesaikan masalah ini, saya berharap Bank Negara (BNM) boleh mewajibkan bank-bank perdagangan untuk memberikan kadar faedah yang lebih baik untuk pembeli kali pertama ini,” katanya sambil menambah agar pelaksanaan MyDeposit turut membuka peluang yang adil buat rakyat Pulau Pinang menikmatinya.

Tambah Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, BNM seharusnya berperanan mempertimbangkan kelonggaran kepada pembeli rumah pertama dalam pembayaran balik pinjaman bank.

“Pihak bank seharusnya mengenakan jumlah ansuran bulanan yang rendah untuk tempoh beberapa tahun pertama.

“Jumlah (pembayaran balik) ini boleh meningkat beberapa tahun kemudian. Ironinya, keadaan ekonomi seseorang akan bertambah baik dan ini akan mengurangkan beban mereka pada peringkat awal,” jelasnya pada Maljis Pelancaran Pengecatan Semula Blok C dan D Rumah Pangsa Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Hadir sama, ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.