Seinci hutan simpan kekal tak kurang, tanam pokok 271, 000 – KM

MACHANG BUBUK – Tidak seincipun hutan simpan kekal ‘berkurangan’ sejak tahun 2008, malah sehingga kini, sebanyak 271,000 pokok ditanam di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa merasmikan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri 2016 dan Pelancaran Automated External Defibrillator (AED) di Taman Rimba Bukit Mertajam, dekat Cherok To’kun di sini barubaru ini.

“Lihat fakta, hutan simpan kekal satu inci pun tak kurang…yang kita alih tanam pokok untuk tujuan pelebaran jalan pun 88 peratus hidup,” katanya.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama dalam negara yang membelanjakan RM41,240 untuk memasang 10 AED di lokasi-lokasi strategik seperti di sini, demi menjayakan kempen ‘Penang Heart-Safe Programme’.

“Kami (Kerajaan Negeri) akan terus memasang AED ini secara berperingkat di setiap kawasan di Pulau Pinang,” jelasnya.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato’ Maktar Shapee (Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang) dan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam).