Permintaan air Pulau Pinang meningkat 11% – KM

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sejak 2017 berjaya menyiapkan dua projek kejuruteraan bekalan air dan bakal menyempurnakan satu lagi projek (bekalan air) demi kepentingan rakyat negeri ini dengan nilai ketiga-tiganya berjumlah RM140.4 juta.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, permintaan air di Pulau Pinang meningkat sebanyak 11 peratus iaitu daripada purata 744 juta liter sehari (MLD) pada 2008 menjadi 826 MLD, 2017.

 

“Permintaan air di Pulau Pinang tidak sama tahun demi tahun, ia akan terus berkembang sejajar dengan pertambahan penduduk yang kini mencecah 1.67 juta orang, dan juga peningkatan aktiviti sosioekonomi. Lebih ramai penduduk serta lebih banyak aktiviti perniagaan, maknanya lebih banyak bekalan air diperlukan untuk masa depan.

 

“(Dan) PBAPP sentiasa mendahului permintaan air di negeri ini dengan melaksanakan projek dan perkhidmatan kejuruteraan air baik dan berkesan dengan margin rizab rawatan air 34.8 peratus pada tahun 2017, iaitu yang tertinggi di Malaysia….tinggi margin rizab bermakna risiko kekurangan bekalan air rendah,” ucapnya merasmikan Kolam Air Bukit Dumbar 4 (BDR4) baharu bernilai RM9.3 juta di Kompleks Kolam Air dan Stesen Pam Bukit Dumbar di sini baru-baru ini.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Pengarah Bukan Eksekutif PBAPP; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang.

 

Menurut Kon Yeow, selain BDR4, Projek Fasa 1 Pusat Kawalan Bekalan Air di Loji Rawatan Air Sungai Dua dekat Seberang Perai yang dirasmikan pada 15 Mac lalu bernilai RM6.1 juta membolehkan pemantauan dan pelaksanaan operasi waktu sebenar bekalan air harian di negeri ini.

 

“Projek Saluran Paip Berkembar Dasar Laut Butterworth ke Pulau Pinang bernilai RM125 juta yang dijadualkan siap pada Disember 2020 akan membolehkan pengepaman lebih banyak air terawat pada masa akan datang.

 

“Bagi BDR4 ini, ia akan memberi manfaat kepada 315,000 penduduk dan beriburibu perniagaan yang berada di kawasan selatan Pulau Pinang dengan jaminan bekalan air dipertingkatkan serta pengagihan air lebih konsisten di semua kawasan bekalan walaupun ketika tempoh permintaan air tinggi,” ujarnya yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, BDR4 adalah kolam air keempat di kompleks ini.

 

“Kompleks ini merupakan pepasangan air penting dan kini ia terdiri daripada empat kolam air terawat serta dua stesen pam. BDR4 dibina untuk menyimpan maksimum 36 juta liter air terawat dengan peningkatan kapasiti simpanan air sebanyak 28.6 peratus, iaitu daripada 126 juta liter kepada 162 juta liter,” katanya.