Exco harap pelan vaksinasi petugas media Pulau Pinang dipercepatkan

Admin
JAGDEEP Singh Deo

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) dapat mempercepatkan pelan vaksinasi kepada barisan petugas media di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai 80 peratus atau 102 pengamal media di negeri Perak dilaporkan selesai menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada Jumaat lepas.

“Pemandu kenderaan rasmi Exco yang mengikuti saya ke mana-mana pun sudah menerima vaksin.

“Sepatutnya para pengamal media juga harus diberikan keutamaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kerana mereka adalah kelompok dalam anggota barisan utama juga,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat di KOMTAR pada 14 Jun 2021.

Lagipun, menurutnya, Kerajaan Negeri telahpun membekalkan senarai nama pengamal media ke jawatankuasa berkaitan untuk diberi keutamaan dalam program vaksinasi ini.

“Baru-baru ini ada pengumuman daripada (wakil persekutuan), cakap para pemberita akan diberikan keutamaan.

“Jadi, kita harap proses tersebut dapat dipercepatkan,” ujarnya sambil menegaskan bahawa Kerajaan Negeri hari ini senantiasa mengutamakan aspek keselamatan awam dan kesihatan awam yang melibatkan anggota barisan utama.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI