Projek sulung LPNPP dijangka siap 2025, kata Exco Perumahan

Admin
JAGDEEP Singh Deo dalam sidang media di KOMTAR, selepas selesai sesi telesidang berkaitan pada awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) akan memajukan sendiri 253 unit kediaman jenis kos sederhana rendah dan 1,014 unit rumah mampu milik (RMM) bawah siling harga RM300,000 sebuah di atas sebidang tanah berkeluasan 7.6 ekar dekat Bukit Gedung, Bayan Baru.

Mengumumkan perkara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata proses panggilan tender akan dibuat pada hujung bulan Jun ini, dan projek sulung LPNPP tersebut dijangka siap pada tahun 2025.

“LPNPP akan memajukan sendiri satu projek perumahan mampu milik di Bukit Gedung, Bayan Baru.

“(Projek) ini adalah yang pertama dan ini merupakan bersejarah,” ujarnya dalam sidang media di KOMTAR pada 14 Jun 2021.

Menurutnya, yang juga ahli lembaga pengarah LPNPP, pelbagai kelengkapan kemudahan tambahan dan moden dalam projek sulung tersebut dijangka akan menyaingi projek-projek perumahan sedia ada di negeri ini.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa tujuh daripada 10 projek perumahan yang sedang dilaksanakan sejak awal tahun ini adalah RMM.

“Jadi, terima kasihlah kepada semua yang bersama-sama kita (Kerajaan Negeri) dalam menjayakan objektif membina rumah mampu milik,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) Pulau Pinang dengan pemberian 10 peratus diskaun atas pembelian rumah pertama yang dijadualkan tamat pada 9 Jun lepas akan dilanjutkan selama setahun lagi, sehingga 30 Jun 2022.

“Di Malaysia juga ada kempen seumpama ini dengan pemberian insentif tertentu juga.

“Justeru kita (Kerajaan Negeri) berharap Kerajaan Pusat juga boleh mempertimbangkan sama seperti Pulau Pinang untuk melanjutkan selama satu tahun lagi kempen,” jelasnya sambil berkata pelanjutan tempoh kempen berkaitan ini akan membantu rakyat memiliki RMM pertama dalam tempoh pandemik.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI