Exco harap Persidangan Kebangsaan Pendidikan Tamil di Malaysia beri implikasi positif terhadap dasar pendidikan negara

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Penang Society for Advancement of Tamil (PSAT) buat julung kalinya menganjurkan Persidangan Kebangsaan Pendidikan Tamil di Malaysia bertempat di Hotel The Light, dekat sini.

Delegasi persidangan terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan Malaysia, Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pensyarah, pengetua, guru, mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam.

Menurut Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, objektif utama persidangan tersebut adalah bertujuan untuk menilai secara kritikal mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pendidikan Tamil di negara ini dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Pendidikan Tamil di negara ini bermula sejak 200 tahun lalu dan Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang memulakan pengajaran Tamil iaitu pada 1816 di Penang Free School.

Prof. Dr. P. Ramasamy bersama jemputan khas mengadakan sidang media sejurus selesai majlis perasmian persidangan.

“Walau bagaimanapun, selepas 60 tahun merdeka, sekolah Tamil semakin berkurangan iaitu daripada 888 buah kepada 524 (buah) kini yang mana keadaan ini telah memberi impak kepada pendidikan masyarakat India.

“Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita meneliti dan menilai sejauh mana pembelajaran dan pendidikan Tamil di sekolah mencerminkan hak kebebasan rakyat untuk mempelajari dan menghayati bahasa ibunda masing-masing,” jelasnya yang merupakan Penasihat Persidangan berkaitan pada sidang media sebentar tadi.

Antara yang hadir, ADUN Bagan Dalam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, M. Satees; A. Kumaresan (ADUN Batu Uban); Exco Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Kedah, R. Summugam dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi menjelaskan, persidangan selama dua hari mulai hari ini akan membincangkan pelbagai topik khasnya berkaitan isu-isu pendidikan Tamil di peringkat kebangsaan.

“Persidangan ini diyakini mampu memberikan implikasi positif terhadap dasar-dasar pendidikan negara terutamanya mengenai cara untuk meningkatkan pendidikan bahasa Tamil.

“Hal ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan Pakatan Harapan yang mahu memberi peluang kepada bahasa ibunda rakyat di negara ini di samping menghormati bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan,” katanya lagi.

Sementara itu,  Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr. G. Manimaran berkata, kerajaan pusat melalui KPM akan terus membantu meningkatkan kualiti pendidikan sekolah Tamil dan keseluruhan sistem pendidikan negara.

“Dalam era Malaysia baharu, pendidikan Tamil akan mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan dan kerajaan bagi mengharungi keperluan dan cabaran.

“Saya juga dimaklumkan jawatankuasa Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN kaum India telah menubuhkan jawatankuasa kecil khas yang terdiri daripada lapan ahli untuk mengurus dan mengendalikan kesemua isu berhubung pendidikan Tamil di negara ini,” jelasnya.

Difahamkan, antara topik yang bakal dipanjangkan sepanjang persidangan adalah mengenai pengajaran bahasa Tamil di Sekolah Kebangsaan, Keberkesanan Dasar Program Dwibahasa (DLP), kemajuan sekolah Tamil di Malaysia, peranan NGO dalam memartabatkan pendidikan Tamil dan banyak lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS