Program Subuhku Di Masjid diharap jadi satu pemangkin masa depan kepada umat Islam – Zakiyuddin

Admin
IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (jubah putih) ketika berucap di Program Subuhku Di Masjid yang berlangsung dekat Masjid Simpang Empat Permatang Buluh baru-baru ini.

PINANG TUNGGAL – Kira-kira 400 jemaah menghadiri pelancaran Program Subuhku Di Masjid yang berlangsung dekat Masjid Simpang Empat Permatang Buluh, Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.

Program satu bulan bermula 24 November hingga 23 Disember itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Zakiyuddin ketika ditemui, berharap agar program tersebut menjadi pemangkin masa depan kepada umat Islam di negara ini khususnya di Pulau Pinang dengan membudayakan solat Subuh secara berjemaah di masjid.

Program Subuhku Di Masjid yang dilancarkan ini haruslah mendapat satu kesedaran yang tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk mencorakkan anak-anak ke arah menjadi anak yang soleh serta berguna kepada masyarakat kelak.

Oleh itu, bagi membudayaan (solat Subuh berjemaah di masjid) amalan ini, saya amat mengalu-alukan penglibatan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk turut serta dalam membentuk sahsiah generasi pelajar-pelajar di negeri ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Hadir sama, ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat, jawatankuasa kariah masjid dan penduduk tempatan.

Seramai 110 pelajar sekolah rendah dan menengah turut menjayakan penganjuran Program Subuhku Di Masjid ini.

Sepanjang Program Subuhku Di Masjid antara acara menarik disediakan termasuklah kelas bimbingan pelajar sekolah rendah, kelas bimbingan pelajar sekolah menengah, aktiviti kemasyarakatan dan riadah serta perkelahan atas bot di Tasik Banding.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADUN