Exco harap Projek Kebun Kerang jadi tarikan baharu SPU

TELUK AIR TAWAR – Dengan peruntukan sebanyak RM1.1 juta, Kerajaan Negeri sejak penghujung bulan Oktober lepas melaksanakan Projek Kebun Kerang Seberang Perai Utara (SPU) yang melibatkan tiga lokasi pendaratan kerang baru iaitu Jeti Sungai Abdul, Jeti Lahar Endin serta Jeti Bagan Ajam.

NORLELA & Mustafa Kamal.

Semasa mengumumkan perkara itu, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berharap projek yang direka dan dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) SPU akan menjadi tarikan baru negeri terutama di daerah berkenaan.

“Antara pembaharuan yang disediakan termasuk peralatan ‘cockle grader’ yang berfungsi sebagai alat pencuci serta dua (2) tan ‘overhead crane’ bertujuan untuk mengangkat hasil kerang.

“Selain itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan turut membiayai kos sebanyak RM1.5 juta kepada Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Batu Maung bagi menjalankan kajian oseanografi, susun atur tapak lot kerang, penyediaan pancang PVC, benih kerang serta lain-lain lagi,” ujarnya semasa menyempurnakan majlis berkenaan pada 17 November 2022 lalu.

NORLELA bersama-sama nelayan semasa menyempurnakan Projek Kebun Kerang.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad; Jurutera JPS Seberang Perai Utara (SPU), Ir. Mohamad Adhar Yahaya; Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Perai, Mahadi Md Rodzi; wakil-wakil dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Ketua-ketua Unit Nelayan serta Ketua-ketua lot Kebun Kerang.

Dalam pada itu, Mohamad Adhar turut memaklumkan kos pembinaan dapat dijimatkan ekoran tiada penglibatan perunding luar.

“Penjimatan kos pembinaan bagi jeti pendaratan kerang mencecah lebih RM100,000 ekoran pihak kami (JPS) menyediakan reka bentuk sendiri.

“Jika menggunakan konsultan luar, barangkali lebih banyak kos yang perlu dikeluarkan,” jelasnya.

SESI Dialog bersama Nelayan yang diadakan baru-baru ini.

Ekoran Sesi Dialog bersama Nelayan yang diadakan, Norlela bercadang untuk memohon baki kos projek dari JPS untuk menjalankan kerja penambahbaikan di jeti pendaratan kerang baru untuk disalurkan kepada Persatuan Nelayan.

“Dari sudut pemerhatian saya, terdapat beberapa aspek lagi yang boleh ditambah baik, misalnya pemasangan paip air laut secara terus ke paip cockle grader, pemasangan paip Perbadanan Bekalan Air (PBA) untuk sumber air bersih serta penyediaan alat ‘water jet’.

“Di samping itu, jika diberikan lebihan bajet saya bercadang ingin menambah beberapa fasiliti seperti tandas beserta bilik mandi, surau dan juga setor untuk nelayan menyimpan peralatan.

“Menariknya, kawasan jeti ini amat strategik untuk mendirikan gerai makanan dek pengunjung berpeluang menikmati kerang yang segar sambil melihat pemandangan matahari terbenam dan spesies burung hijrah,” tambahnya lagi.

Buletin Mutiara difahamkan, seramai 2,242 nelayan telah diberikan manfaat sebanyak RM400 ekoran Bantuan Nelayan Pulau Pinang oleh Kerajaan Negeri yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM896,800.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL