Exco harap projek RTB Sungai Kerian siap ikut jadual

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DANNY OOI

NIBONG TEBAL – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berharap projek rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Kerian sepanjang 15 kilometer dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan demi mengatasi masalah banjir di lokasi berkaitan November ini.

Beliau berkata demikian pada lawatan ke Rumah Pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

“Saya lihat isu penempatan penduduk hampir selesai, rumah dan pampasan sudah disediakan iaitu membabitkan nilai RM102 juta, justeru, saya harap penduduk dapat beri kerjasama untuk menyempurnakan pemindahan masing-masing ke rumah baru di Sungai Duri.

“Baki struktur binaan komersial dan persendirian di tebing-tebing sungai ini perlu diroboh dan dibersihkan segera demi kelancaran projek yang dijangka siap November ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Turut serta, Timbalan Pengarah JPS Negeri, Md. Khuzai Hussain.

Tambah Kon Yeow, walaupun projek tersebut di bawah Kerajaan Pusat, beliau percaya kerjasama baik antara dua pihak (Kerajaan Negeri) mampu mempercepatkan ia (projek) terutamanya berkaitan masalah penempatan.

“Bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan datang, diharapkan Pulau Pinang (bakal) mendapat peruntukan sewajarnya dalam menyelesaikan masalah-masalah banjir terutamanya di Sungai Pinang yang memerlukan belanja besar,” ujar beliau.

Dalam pada itu, menurut Md. Khuzai, adalah menjadi harapan beliau untuk melihat Kampung Che Isa, Kampung Teluk Ipil, Kampung Haji Che Omar, Kampung Teluk, Kampung India, Kampung Transkrian, Kampung Tanjung Berembang, Kampung Kepala Batas dan Jalan Persekutuan Datuk Keramat di sini bebas banjir.

“Jika projek ini siap kelak, ia bakal membebaskan 20,000 penduduk daripada masalah banjir.

“Pada masa sama, juga bakal menyelamatkan sumber ekonomi penduduk yang bertani dan masalah kesesakan jalanraya apabila berlakunya banjir,” jelas beliau sambil menyatakan bahawa punca kejadian banjir di kawasan-kawasan berkaitan adalah ekoran pendedahan kepada air pasang surut laut serta pertembungan air yang dilepaskan dari hulu ketika pintu air dibuka.