EXCO harap Pulau Pinang dapat lahir usahawan mahir dalam pembuatan butik coklat dan western coffee roasting

Admin

BUKIT TENGAH- Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berharap Pulau Pinang dapat melahirkan usahawan yang mahir dalam pembuatan butik coklat dan western coffee roasting.

Perkara tersebut dinyatakan beliau letika berucap pada Kursus Asas Pembuatan Butik Coklat dan Western Coffee Roasting dekat Penang Science Park hari ini.

“Seperti yang kita tahu, usahawan yang terdapat di Malaysia ialah usahawan ‘beginners’, usahawan yang mempunyai produk sedia ada dan usahawan ‘migrate’.

“Untuk melahirkan usahawan yang memang benar-benar berkualiti bagi kursus pagi ini, kita telah menjemput Chef khas dari Itali yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan coklat.

“Justeru, diharapkan hasil pembelajaran kursus ini, para usahawan bukan sahaja memperbaiki kualiti poduk mereka malah meningkatkan lagi kualiti produk yang sedia ada.

“Usahawan-usahawan ini juga mampu menjadi ‘mentor’ kepada usahawan lain selaras dengan langkah untuk mewujudkan jenama coklat baru yang dihasilkan oleh usahawan sendiri,” ujar Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Mengulas lanjut, beliau menyeru kepada semua usahawan di Pulau Pinang untuk terus mengikuti program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Keusahawanan dalam meningkatkan pendapat usahawan tersendiri.

Dalam perkembangan berkaitan,  Pengarah Easy Pack, Goh Toh Sin berkata, inisiatif tersebut dilakukan untuk memberi pendedahan kepada usahawan dalam menceburkan diri terutamanya bumiputera terhadap industri coklat.

“Dengan menghadiri kursus asas ini, para usahawan boleh meningkatkan lagi keyakinan dan kemahiran serta mampu bersaing dalam menghasilkan coklat bertaraf import.

“Oleh itu, diharapkan Pulau Pinang mampu melahirkan usahawan-usahawan yang berinovasi berdasarkan konsep teknologi serta mampu bersing di pasaran dunia,” ujanya ketika ditemui Buletin Mutiara pagi tadi.

Teks & Gambar : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN