Exco harap rakyat dapat respons cadangan pembaharuan Dewan Sri Pinang 

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengumumkan bahawa warga negeri masih berpeluang untuk memilih tiga opsyen pembaharuan serta pemuliharaan Dewan Sri Pinang melalui kaji soal selidik.

“Opsyen pertama adalah menyatakan intervensi yang minima merangkumi penambahbaikan semula ruang sedia ada seperti menyediakan semula perpustakaan, memperbesarkan galeri seni, penciptaan ruang auditorium yang lebh fleksibel dengan teater eksperimen dan tempat duduk; dan mengembalikan semula balkoni-balkoni yang menghadap laut.

“Opsyen kedua pula menfokuskan kepada ruang dan peredaran baru, terutamanya ruang fungsi lantai bawah yang lebih besar; penciptaan ruang auditorium yang fleksibel dengan teater eksperimen dan tempat duduk; lanjutan tingkat pertama menghadap ke laut untuk perpustakaan digital; penciptaan ‘foodcourt’ separuh luaran; pilihan untuk sebuah serambi baru yang menghubungkan ke Dewan Bandaraya.

“(Dan) opsyen ketiga merupakan versi ‘opsyen kedua’ yang diperluaskan lagi termasuk lanjutan bangunan ke arah pinggir laut, termasuk ruang seni persembahan yang lebih besar dan ruang lantai ketiga untuk penyewa pejabat,” jelasnya semasa sidang media di Dewan Sri Pinang sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kaji selidik ini akan diteruskan lagi selama sebulan dan warga negeri boleh mendapatkan borang soal selidik di tingkat 3 KOMTAR, di ruang Dewan Sri Pinang serta melalui ‘online survey’ yang akan bermula pada esok hari.

Dalam perkembangan lain mengenai status pembaharuan dan pemuliharaan DSP, Jagdeep turut memaklumkan keputusan diperoleh melalui borang soal selidik yang telah diedarkan selama tiga hari iaitu semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu.

“Sebanyak 87 peratus responden bersetuju untuk bangunan DSP (Dewan Sri Pinang) dijadikan sebagai Pusat Seni & Budaya Utama untuk Pulau Pinang, 78 peratus responden inginkan bangunan DSP dilakukan pemuliharaan dan pembaharuan manakala 61 peratus responden bersetuju untuk memperbesarkan bangunan DSP yang mempunyai lebih banyak ruang serta mempunyai kemudahan seperti perpustakaan dan ruang seni,” jelasnya.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar: ALVIE CHENG