Kitar semula sambil jana pendapatan, MPSP galak penduduk Seberang Perai sertai program Recycle for Life

Admin
Rozali (tengah) menunjukkan kad Recycle for Life semasa pelancaran program berkenaan dekat Ibu Pejabat MPSP pada Mac lalu.

SEBERANG JAYA – Penduduk di Seberang Perai digalakkan untuk menyertai program Recycle for Life iaitu satu inisiatif kitar semula sambil menjana pendapatan yang dibangunkan oleh syarikat I-Edaman Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, melalui program tersebut setiap individu berdaftar akan menerima satu kad elektronik yang mana setiap kali mereka membawa barang kitar semula, mereka akan diberikan ganjaran wang.

“Wang tersebut akan dikreditkan melalui kad elektronik dan para peserta boleh berbelanja di pasar raya yang diiktiraf pihak syarikat iaitu Pasaraya Econsave Bukit Mertajam dan juga Butterworth menggunakan kad tersebut.

“Bukan sahaja membantu penduduk menjana pendapatan, malah program ini juga akan mempercepatkan lagi kadar kitar semula selain menyokong usaha Kerajaan Negeri ke arah pengasingan sisa di punca demi mencapai visi Penang2030,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas merasmikan Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah dekat Dewan KAFA Kampung Permatang Nibong di sini pada 4 Mei lalu.

Turut serta, Ketua Unit Perniagaan I-Edaman bagi cawangan Kedah dan Perlis, Afzaruddin Anuar.

Mengulas lajut, Rozali menjelaskan bahawa bagi peringkat pertama, pihaknya telah membuka pusat pengumpulan barangan kitar semula di Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda dan di Kampung Permatang Nibong.

“Mengikut perancangan, kita (MPSP) akan pungut pada hari Rabu terakhir setiap bulan dan pada masa akan datang kita akan memperluaskan pusat pengumpulan ke lima lokasi lagi,” ujarnya.

Bagi yang berminat untuk menyertai program berkenaan boleh hadir sendiri ke Ibu Pejabat MPSP atau hubungi Ahli-Ahli Majlis dengan melayari laman web www.mpsp.gov.my bagi mendapatkan kad kitar semula berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MPSP