Exco harap sukan Dodgeball diperluaskan ke peringkat sekolah

Admin

BAYAN LEPAS – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berharap sukan dodgeball dapat diperluaskan di peringkat sekolah secara lebih meluas dalam usaha memperkenalkan sukan berkenaan kepada golongan pelajar sekaligus melahirkan lebih ramai pelapis.

Beliau berkata, walaupun sukan berkenaan baharu sahaja dikenali di Pulau Pinang, namun yakin dengan pelbagai pendedahan dan platform, permainan tersebut mampu untuk melahirkan lebih ramai pemain.

“Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang sukan baharu ini, namun jika ianya dipromosikan secara lebih meluas dengan mengadakan pelbagai ‘klinik sukan dodgeball’ atau masuk ke sekolah-sekolah, saya percaya kita (Pulau Pinang) mampu menarik lebih ramai bakat yang menyertainya.

“Sekolah merupakan lokasi terbaik untuk mencari bakat-bakat dalam sukan ini, memandangkan kini sukan ini juga telah diiktiraf untuk dijadikan sebagian ko-kurikulum sekolah, saya percaya ia mampu menjadi salah satu sukan popular seperti (sukan) yang lain,” ujarnya ketika hadir pada Majlis Penutup Kejuaraan Dodgeball 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Tunas Muda Futsal Centre, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An; Presiden Persatuan Dodgeball Pulau Pinang, Alson Tay dan wakil Jabatan Sukan dan Belia Negeri Pulau Pinang.

Dodgeball merupakan permainan yang mana pemain kedua-dua pasukan cuba membaling bola ke atas satu sama lain, sambil mengelak daripada terkena bola berkenaan, seakan-akan permainan bola beracun.

Pada penganjuran kejuaraan julung kali berkenaan, sebanyak tiga kumpulan berentap, di mana tempat pertama bakal membawa pulang wang tunai RM700 beserta medal, kedua (RM500 dan medal) dan ketiga (RM300 dan medal).

Serentak itu, MSNPP turut mengumumkan pemberian RM5,000 kepada persatuan berkenaan untuk pengembangan sukan berkaitan di Pulau Pinang.