Exco lawat rumah ibu tunggal hangus dijilat api di Permatang Pauh

PERMATANG PASIR – Ibu tunggal, Normah Darus, 56, kini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah tempat beliau bersama-sama empat anak hangus dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin baru-baru ini dekat Kampung Petani, Kubang Semang di sini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pagi tadi melawat keluarga mangsa serta menyerahkan RM1,000 sumbangan bantuan segera Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang melalui Tabung Bencana TYT.

“Kita tengok apa lagi yang boleh dibantu, Insya-Allah kita akan cuba memberi bantuan khas dalam bentuk rumah, kerana dalam kes-kes seperti ini boleh diberi (peruntukan) kelulusan khas untuk bina semula rumah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada pemberita di sini pada 17 Januari 2019.

Hadir sama, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat, Penghulu Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Pasir, Hafizi Mohamad serta wakil-wakil ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

Dalam temubual berasingan sebelum itu, Norma ditemani kakaknya, Jamilah Darus, 59, menyatakan bahawa sehingga kini mereka masih belum pasti punca sebenar kebakaran rumah mereka, yang berkembar dengan sebuah lagi rumah pusaka tak berpenghuni.

“Selalu memang makcik tinggal sendirian, kerana anak-anak makcik masih belajar di universiti.

“Mujur pada malam kejadian dua anak makcik dan seorang menantu balik bermalam di rumah, jadi, mereka lah yang bawa keluar barang-barang penting seperti motosikal dan komputer riba…pakaian semuanya hangus, baju yang makcik pakai ini pemberian jiran.

“Makcik tak bekerja, jadi buat masa ini makcik tinggal di rumah bisan dekat Kepala Batas, kalau dapat bantuan rumah, kecil-kecil pun tak apa, daripada Kerajaan Negeri sebelum masuk bukan Ramadan ini, Alhamdulillah,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada rombongan Afif ke sini pada pagi tadi.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB∇