RSNPP 2030 diharap dapat diwartakan pertengahan tahun ini – Exco

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2030 dapat diwartakan pada pertengahan tahun ini.

Jelasnya, draf kajian mengenai perkara itu kini memasuki peringkat akhir selepas ia dipaparkan kepada orang awam bagi mendapatkan maklum balas selama dua bulan yang berakhir pada November 2018.

“Pada September tahun lalu kita telah membuka draf kajian untuk penyertaan awam bagi mendapatkan input, maklum balas, kritikan serta cadangan daripada orang ramai termasuk individu, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, syarikat swasta serta melalui laman sosial.

“Oleh itu, sebanyak 501 borang maklum balas telah diterima iaitu 374 daripada orang awam, agensi kerajaan (13), syarikat atau pemaju (24), NGO (13) serta laman sosial Facebook (110) diterima Kerajaan Negeri sepanjang tempoh tersebut.

“Secara khususnya maklum balas yang diterima adalah berdasarkan lapan kategori iaitu Penang Transport Master Plan (63), tebus guna tanah (48), unjuran penduduk (25), pembangunan tanah tinggi (17), banjir (27), lebihan penawaran ruang lantai perniagaan (15), tanah pertanian (272) dan lain-lain (34).

“Walaupun masa sebenar penilaian telah ditutup tetapi sekiranya ada pertubuhan besar yang mewakili stakeholder di Pulau Pinang ada cadangan, kita (Kerajaan Negeri) terbuka untuk pertimbangkan,” jelasnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa semua maklum balas tersebut akan dinilai oleh satu jawatankuasa penilaian yang dilantik sebelum diangkat kepada Jawatankuasa Perancangan Negeri.

“Di peringkat ini kita (Kerajaan Negeri) ada satu lagi langkah yang perlu diambil iaitu penilaian daripada Jawatankuasa Bantahan Awam sebelum maklum balas tersebut diangkat kepada Jawatankuasa Perancang Negeri yang dijangka pada Februari ini.

“Setelah itu, kita akan masuk ke peringkat Jawatankuasa Perancangan Negeri yang akan membuat keputusan muktamad berdasarkan maklum balas diterima sama ada draf tersebut akan dibuat pindaan atau tidak.

“Justeru, saya berharap agar sebelum pertengahan tahun ini, RSNPP 2030 tersebut dapat diwartakan kerana ia konsisten dengan visi Penang2030 yang dilancarkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berlandaskan negeri hijau, pintar dan kekeluargaan yang menginspirasikan negara,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN