Exco, pejabat daerah dan JKM sumbang RM500 kepada mangsa kebakaran

Admin

TANJUNG BUNGAH – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari hari ini menyampaikan sumbangan berbentuk cek kepada dua keluarga mangsa kebakaran di Tanjung Bunga.

“Baru-baru ini dua buah rumah telah dijilat api di Lorong Lembah Permai, Tanjung Bunga.

“Oleh itu, pejabat saya, serta pejabat daerah dan tanah (timur laut) memberikan sumbangan (masing-masing) sebanyak RM500 kepada kedua-dua buah keluarga tersebut.

“Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memperuntukkan sebanyak RM500 dan memberi barangan keperluan asas kepada dua buah keluarga mangsa tersebut,” katanya semasa sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah pagi ini.

Zairil dalam pada itu juga menzahirkan ucapan syabas dan terima kasih kepada Charles Ong Kian Hin yang berjaya menyelamatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) semasa kebakaran baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Zairil yang juga ADUN Tanjung Bungah menjemput penduduk Tanjung Bungah untuk menyertai program ‘Line Dancing’ yang akan bermula pada bulan Ogos sehingga Disember ini.

“Program yang dianjurkan oleh Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) adalah percuma dan aktiviti tersebut akan dijalankan setiap hari Jumaat dari jam 6 petang sehingga 8 malam.

“Program ini menyasarkan kira-kira 60 orang peserta untuk setiap kelas,” jelasnya lagi.

Bagi yang berminat untuk menyertai program ini, pendaftaran boleh dilakukan di Pusat Khidmat DUN Tanjung Bungah atau menghubungi 04-8903866/016-2142248.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar: JOANNE FONG