Exco perjelas status 12 projek rumah lima daerah

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) giat membina 22,545 unit rumah mampu milik di bawah 12 projek pemajuan meliputi lima daerah di negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Pembangunan, Jagdeep Singh Deo berkata, 12 projek pemajuan itu antaranya di Jalan SP Chelliah, Teluk Kumbar, Jelutong, Pintasan Cecil, Fasa 4 Bandar Cassia, Kampung Jawa, Ampang Jajar, Bukit Mertajam, Juru, Mak Mandin dan Ujung Batu.

“Sejak tahun 2008 hingga 2014, pihak swasta membina 12,471 unit perumahan kos rendah, kos sederhana rendah (7,608) di lima daerah negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga meluluskan 3,796 unit rumah kos rendah dan 5,246 kos sederhana rendah untuk juga dibina di lima daerah Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Penjelasan Jagdeep adalah sebagai respons pada tuduhan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang merangkap ADUN Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid yang menyebut Kerajaan Negeri langsung tidak membina rumah mampu milik sejak tahun 2008.

Justeru, Jagdeep menegaskan bahawa Pembangkang Pulau Pinang dinasihatkan supaya tidak terus dalam sindrom penafian susulan rancangan Kerajaan Negeri untuk membina rumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan rumah mampu milik (RMM) di negeri ini, sungguhpun mendapat reaksi dingin daripada Putrajaya.

Dalam perkembangan sama, Jagdeep turut mencabar Kerajaan Pusat menunjukkan bukti mengenai rancangan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pada tahun 2012 yang kononnya akan dimajukan di kawasan Bukit Gelugor, Air Itam dan Balik Pulau.

“Kerajaan pusat perlu buktikan kesahihan projek PR1MA ini jika mereka benar-benar ikhlas mahu menolong penduduk Pulau Pinang memiliki rumah.

“Mereka perlu menyatakan secara hitam putih lokasi dan perancangan projek secara terperinci bagi melaksanakannya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Jagdeep turut mempertikaikan pihak JKP Sdn. Bhd di bawah Kementerian Kewangan dan Perbadanan Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang bakal membina projek bernilai RM1.85 juta di pulau dan tanah besar (RM575,000).

Katanya, Kerajaan Negeri bersedia menyediakan tanah kepada JKP dan PERDA jika projek yang mereka ingin bangunkan adalah terdiri dari KR, KSR dan RMM bagi membantu rakyat Pulau Pinang memiliki rumah mereka sendiri,” ujar beliau.