Lahar Yooi mampu gamit pelancongan desa – Exco

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

TASEK GELUGOR – Lawatan kerja Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang ke tapak cadangan Projek Inap Desa ke-11 di bawah Kerajaan Negeri serta beberapa kawasan menarik lain sekitar Kampung Lahar Yooi di sini disambut meriah oleh komuniti setempat baru-baru ini.

Heng Kiang, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Saodah Nawawi dan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Dato’ Mohd.

Salleh Man, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Berangan, Arshad Md. Salleh serta tetamu lain disambut dengan adat kebudayaan Melayu seperti iringan bunga manggar, orkestra kesenian Melayu, persembahan pencak silat dan sebagainya.

Delegasi tersebut turut dibawa menyaksikan demonstrasi memasak beberapa kuih tradisional Melayu seperti kuih kapit, halowa maskat, cucur peneram atau ‘telinga keling’, kuih karas dan sebagainya.

Permainan kebudayaan oleh kanak-kanak dan muda-mudi seperti congkak, batu seremban atau selambut, jengkek dan lain-lain turut menyerikan lagi program komuniti tersebut.

Heng Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang dalam ucapannya memberitahu bahawa Projek Inap Desa Lahar Yooi merupakan satu lagi persiapan Kerajaan Negeri demi menjayakan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014, kini.

“(Menjelang Tahun 2020) 36 juta pelancong dijangka melawat negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan anggaran pulangan
(keuntungan) sebanyak RM168 bilion dan 500 ribu peluang pekerjaan baru.

“Sudah pasti Kerajaan Negeri berharap kunjungan pelancong sama ada tempatan atau luar negeri ke Malaysia paling banyak melimpah ke negeri ini.

“Kita menjangkakan bilik hotel khususnya di sebelah pulau akan penuh mulai musim cuti sekolah hujung tahun ini, kerana kita mendapati lambakan pelancong sudah menyebabkan beberapa hotel di sebelah Seberang Perai seperti Hotel Exora (dekat Seberang Jaya) pun 100 peratus penuh pada bulan Jun lalu. “Cadangan homestay (inap desa) di Lahar Yooi adalah projek ke-11 Kerajaan Negeri supaya pelancong
mempunyai lebih banyak pilihan, selain mengenali identiti budaya komuniti Melayu di negeri ini,” ujarnya pada Majlis Melawat Tapak Cadangan Homestay Lahar Yooi yang diadakan serentak dengan Majlis Perasmian Pembukaan Pusat Kecemerlangan As-Syafie (PAKSY) di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Setiausaha bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Lahar Yooi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangungan Homestay Lahar Yooi, Azhar Ahmad memberi penerangan mengenai projek kebudayaan, kesenian, ekonomi, gender, pendidikan belia dan pelancongan yang giat diadakan di sekitar Lahar Yooi, sebagai persiapan menjayakan projek inap desa ke-11 Kerajaan Negeri.

Rombongan Heng Kiang turut dibawa melawat ke salah satu tapak cadangan inap desa, iaitu kediaman Normah Yusoff, 59, dekat Kampung Lubok Meriam di sini.

Mereka turut dibawa melawat ke beberapa pusat pelancongan industri desa setempat seperti kilang kuih bahulu SPZ Mutiara milik Fatimah Zakaria, 62, dan kilang lemang Lahar Yooi milik Muhamad Sobberi Harun, 56.