Exco puji MBSP naik taraf mercu tanda sempadan daerah

Admin
BARISAN pemimpin negeri merakamkan gambar kenangan dekat mercu tanda masuk sempadan ke Pulau Pinang dekat Permatang Keling, Nibong Tebal di sini pada 16 November 2023.

JAWI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini menaik taraf mercu tanda di sempadan masuk ke negeri Pulau Pinang dekat Permatang Keling, Nibong Tebal.

JASON H’ng Mooi Lye menyampaikan ucapan perasmian projek menaiktaraf mercu tanda masuk ke negeri Pulau Pinang di sini tadi.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata pihaknya berharap projek penaiktarafan tersebut bukan sahaja dapat mengindahkan lagi struktur binaan sedia ada, malah akan menarik lebih ramai pengembara antarabangsa serta pengunjung tempatan ke Seberang Perai.

“Mercu tanda merupakan sesuatu objek, struktur atau ‘landmark’ yang mudah dicam dan diletak atau ditempatkan di sesuatu lokasi sebagai panduan penentuan sempadan kampung, bandar, daerah dan negeri yang boleh dilihat dari jarak jauh.

“Mercu tanda ini direka bentuk dengan ciri-ciri tempatan yang menarik dan ceria di samping memperbaiki kualiti ruang bandar yang mempunyai simbolik dan beridentitikan Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi semasa merasmikan majlis tersebut di sini pada 16 November 2023.

Berucap sebelum itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad memberitahu bahawa matlamat penyediaan mercu tanda antara lain adalah untuk melambangkan sempadan negeri Pulau Pinang bagi setiap daerah.

Buletin Mutiara difahamkan mercu tanda yang dinaik taraf adalah berukuran 7 meter (m) panjang x 0.7m lebar x 2.6m tinggi.

Projek penarafan mercu tanda tersebut mula dibina pada 5 September 2023 dan siap sepenuhnya pada 16 Oktober 2023 (enam minggu) serta menelan belanja keseluruhan sebanyak RM50,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Azhar berkata bahawa MBSP turut penaik taraf mercu tanda serupa di sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU) iaitudi Jalan Lunas (Sempadan Ara Kuda / Lunas) serta Jalan Tasek Gelugor (Sempadan Padang Serai).

Di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula, beliau berkata mercu tanda serupa turut dinaik taraf di Jalan Keladi (Sempadan Sungai Lembu / Kulim) dan Jalan Kulim (Hadapan Giat Mara).

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Rashidi Zinol yang juga ADUN Sungai Acheh turut sertai majlis tersebut.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD