Exco puji prestasi terbaik pembinaan projek RMM Jiran Residensi, patuhi garis masa ditetapkan

Admin

BAGAN DALAM – Projek pembinaan rumah mampu milik (RMM), Jiran Residensi dekat Kampung Jawa di sini berada pada prestasi terbaik dan dijangka menerima Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) seawal pertengahan tahun hadapan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, projek yang hampir siap itu berada dalam prestasi terbaik serta mematuhi garis masa yang telah ditetapkan.

“Hari ini, pemeriksaan mengejut di tapak pembinaan ini (Jiran Residensi) dilakukan untuk memastikan projek rumah mampu milik terutamanya yang disediakan Kerajaan Negeri mematuhi garis masa yang ditetapkan dan saya mendapati prestasi pembinaan projek ini baik sekali.

“Saya selalu mengingatkan kepada pemaju bahawa cabaran terbesar yang dihadapi oleh sektor perumahan adalah kadar penolakan pinjaman perumahan oleh bank-bank begitu tinggi terutama bagi pemilikan rumah pertama.

“Namun begitu, saya gembira apabila dimaklumkan bahawa rumah kategori kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) bagi projek ini hampir semuanya berjaya dijual manakala rumah mampu milik pula separuh daripadanya telah terjual,” katanya kepada media di sini sebentar tadi.

Projek rumah mampu milik Jiran Residensi dijangka menerima CCC pertengahan tahun depan.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Soon Lip Chee (Exco Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal); M. Satees (ADUN Bagan Dalam) serta wakil daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Difahamkan, Jiran Residensi merupakan salah satu daripada lima projek rumah mampu milik yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui PDC yang terdiri daripada 353 unit rumah kos rendah dan 354 unit rumah mampu milik.

Harga yang ditawarkan adalah bermula RM72,500 seunit bagi kos rendah dan maksimum RM250,000 bagi unit rumah mampu milik.

Mengulas lanjut, Jagdeep menjelaskan, pemeriksaan mengejut atau ‘spot check’ seperti ini bukan sahaja dilakukan terhadap projek rumah mampu milik yang dibina oleh Kerajaan Negeri malah turut melibatkan projek-projek perumahan swasta.

“Hal ini kerana kesemua unit rumah mampu milik yang sudah dibina, sedang dibina dan akan dibina mencecah hampir 80,000 unit termasuk oleh kerajaan dan pihak swasta yang memerlukan pemantauan dan sebagai Exco Perumahan, saya akan terus melakukan pemeriksaan mengejut seperti ini.

“Oleh itu, saya menyeru kepada pihak pemaju swasta untuk menyokong usaha dan inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah mampu milik yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan demi manfaat penduduk di negeri ini,” serunya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS