Exco respons isu pencemaran bau sisa kumbahan khinzir di Kampung Selamat

GEORGE TOWN – Cadangan menggunakan lori untuk mengangkut sisa kumbahan khinzir dari kesemua 26 ladang di Kampung Selamat dekat Tasek Gelugor wajar disegerakan oleh para pengusaha berkenaan.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh memberitahu bahawa langkah segera tersebut dapat mengelak risiko sisa kumbahan khinzir daripada terus dilepaskan secara langsung ke sungai hatta mengakibatkan pencemaran bau kepada penduduk setempat.

Menurut beliau, langkah tersebut wajar diambil sementara menunggu Enakmen serta Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020 dikuatkuasakan pada 1 Januari 2022.

SUASANA sesi soal jawab lisan di Dewan Sri Pinang pada pagi tadi.

“Syarikat telah berjanji menggunakan sistem pelepasan dengan menghantar lori-lori (kumbahan) ke ladang-ladang (ternak khinzir), ada sistem pelepasan di sana (ladang ternak khinzir) dan terus membawa (kumbahan babi) untuk diproses di kilang.

“Itu, antara inti perbincangan, diharap ia dapat kelulusan segera, MBPS (Majlis Bandaraya Seberang Perai) juga telah bersetuju untuk pihak-pihak berkaitan memulakannya dengan secepat mungkin,” jelasnya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman di Dewan Sri Pinang pada pagi tadi.

Menurut Boon Poh, semua 26 ladang ternak khinzir tersebut telah beroperasi di Kampung Selamat selama 75 tahun dulu iaitu sejak 1945, dan bukan industri baharu negeri.

Hasil perbincangan dua hala, tambah beliau, para pengusaha mengaku bahawa mereka mempunyai masalah kewangan untuk membina sistem ladang tertutup yang dilengkapi sistem pengurusan kumbahan secara moden.

Sebelum itu, Nor Hafizah membangkitkan isu bau busuk yang dihadapi penduduk Permatang Berangan disebabkan aktiviti pelepasan sisa kumbahan khinzir secara langsung ke sungai di Pinang Tunggal.

Beliau dalam pada itu meminta Boon Poh menjelaskan rancangan Kerajaan Negeri dalam tempoh kira-kira dua tahun ini bagi menangani masalah penduduk lokal, sementara menunggu langkah penguatkuasaan Enakmen serta Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020.

Sebagai tambahan, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohamad Yusoff Mohd. Noor yang juga ADUN Sungai Dua mencadangkan langkah penutupan ‘Parit Cina’ demi mencegah sisa kumbahan khinzir daripada terus dilepaskan secara langsung ke sungai.

“Terdapat satu cadangan untuk menyelesaikan segera isu ini iaitu dengan menutup ‘Parit Cina’ yang selama ini mengalirkan sisa kumbahan khinzir ke sungai, agar selepas ini sisa kumbahan itu mengalir di sekeliling kawasan ternakan sahaja,” ulasnya.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB