Ahli Parlimen Bayan Baru komited hulur bantuan tangani pandemik COVID-19

Admin

BATU UBAN – Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru komited menghulurkan bantuan untuk menangani pandemik COVID-19 dan kesan berantai ke atas masyarakat yang terkesan, ujar Ahli Parlimennya, Sim Tze Tzin.

Menurut beliau, untuk menangani kesan dek pandemik COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga, Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru melalui barisan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat telah menghulurkan dua fasa bantuan berupa keperluan penjagaan kendiri kepada para pegawai Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Jelasnya, pihaknya mengambil perhatian atas keperluan kakitangan dan pegawai penjara khususnya dalam menghadapi penularan wabak di penjara kini.

“Pegawai dan kakitangan penjara merupakan frontliners sekarang ketika berhadapan dengan wabak yang menular di dalam kawasan tersebut.

“Oleh itu, dua fasa bantuan telah diberikan di mana masing-masingnya bernilai hampir RM10,000 berupa barangan keperluan penjagaan kendiri seperti pelitup muka, face shield, pensanitasi tangan, sabun pencuci tangan dan bakul barangan makanan asas,” ujarnya pada majlis ringkas penyampaian barangan kepada Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang 17 Oktober 2020.

Sebelum itu, Tze Tzin turut mengedarkan 300 paket pelitup muka kepada para peniaga dan pengunjung di Market Lip Sin.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Serentak majlis yang sama, Tze Tzin turut mengumumkan bantuan untuk 14 mahasiswa yang masih terkandas di universiti masing-masing ekoran penutupan kemasukan pelajar baru-baru ini.

“Kita telah mengenal pasti 14 mahasiswa daripada golongan B40 di dalam Parlimen Bayan Baru yang masih terkandas di universiti tempatan dalam negara, justeru bantuan akan diberikan kepada mereka.

“Dan, tidak lupa bantuan bakul barangan asas berupa keperluan dapur turut dihulurkan kepada 16 keluarga B40 di sini,” tambah beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG