Exco sambut baik syor penjawat awam enggan vaksin dikenakan tindakan

SERENTAK pada acara sama, Jagdeep Singh Deo (depan sekali) turut menyampaikan pek bantuan khas COVID-19 kepada penduduk lokal terpilih di sini.
JAGDEEP Singh Deo (depan, tengah) dalam acara gimik penyerahan kit ujian ke diri COVID-19 di Taman Free School di sini pada pagi tadi.

DATUK KERAMAT – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pagi ini berkata beliau secara peribadi menyambut baik cadangan peringkat Persekutuan untuk mengenakan tindakan ke atas penjawat awam yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 mulai bulan November ini.

JAGDEEP Singh Deo

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, langkah itu bukanlah untuk menghukum penjawat awam, sebaliknya demi meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai kepentingan vaksin bagi membawa negara dan negeri segera keluar daripada krisis pandemik itu.

“Kalau semua (penjawat awam) hendak divaksin, tetapi satu dua orang tak (atau boleh menolak untuk divaksin), tak perlu divaksin (keseluruhannya) kerana kita boleh dijangkiti kerana satu dua orang (yang masih belum divaksin) itu.

“Dan, saya setuju dengan apa yang dinyatakan pada peringkat Pusat bahawa kalau anggota perkhidmatan awam enggan divaksin menjelang 1 November, tindakan tatatertib akan diambil terhadap mereka.

“Saya menyokong penuh cadangan tersebut secara peribadi dan saya percaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menyokong penuh cadangan (peringkat Persekutuan) itu,” jelasnya pada sidang media ringkas semasa acara penyerahan kit ujian kendiri COVID-19 kepada penduduk lokal di Taman Free School di sini pada 2 Oktober 2021.

SAMBIL disaksikan Jagdeep Singh Deo (dua dari kiri), R. S. N. Rayer kiri sekali) menyerahkan pek kit ujian kendiri COVID-19 kepada wakil anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) lokal tadi.

Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran dan kakitangan pembandaran yang melaksanakan kerja-kerja sanitasi di sini turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Menurut Jagdeep lagi, sekiranya anggota perkhidmatan awam masih belum vaksin akan memberi risiko ‘yang tak diingini’ kepada rakyat yang berurusan di kaunter-kaunter kerajaan.

“Kalau kita tak divaksin, kita buka perkhidmat awam, kita jadi ‘risiko awam’,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat sambil berharap mereka yang layak menerima vaksin supaya segera ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat, secara hadir terus.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut mendedahkan jumlah anggota perkhidmatan awam MBPP yang telahpun lengkap divaksin ketika ini iaitu kira-kira 97.7 peratus.

“Begitu juga anggota penjawat awam di tiga sektor berkaitan portfolio saya (iaitu) Bahagian Kerajaan Tempatan, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang atau PLANMalaysia@Pulau Pinang, kesemua 100 peratus telah divaksin,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB