Exco sasar PBT dan pihak swasta mampu tanam 150,000 batang pokok dalam tempoh lima tahun

JAGDEEP Singh Deo (tiga dari kiri) bersama Yew Tung Seang (dua dari kanan) dan Lim Siew Khim (empat dari kanan) menyiram pokok star apple di Lengkok Dumbar baru-baru ini.

SUNGAI PINANG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyasarkan sebanyak 150,000 batang pokok akan ditanam dalam masa lima tahun dari sekarang.

Katanya, jumlah tersebut melebihi 50,000 pokok dari apa yang dijanjikan dalam Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang pada kempen Pilihan Raya Umum (PRU14) baru-baru ini.

Kalau boleh saya nak sarankan lebih dari apa yang dijanjikan dalam manifesto.

Macam juga penggantian lampu-lampu jalan yang menggunakan Light Emitting Diode (LED) dan penambahan kamera litar tertutup (CCTV) yang difahamkan juga lebih dari apa yang pihak berkuasa tempatan (PBT) janjikan.

Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hijau, dalam tempoh dua penggal pemerintahan, kita telah berjaya menanam kira-kira 270,000 batang pokok melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan kerjasama pihak swasta,” ujar beliau dalam satu program penanaman pokok star apple (Chrysophyllum Cainito) di Lengkok Dumbar baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Selain Lengkok Dumbar, serentak itu dua kawasan lain turut menjalankan program serupa iaitu penanaman 10 pokok orange jasmine di Jalan Jelutong dan Jalan Ahmad Nor (10 golden shower serta 36 tekoma).

Dalam pada itu, Tung Seang ketika bercakap pada sidang media menyatakan pihaknya juga baru-baru ini menggerakkan satu usaha bersama kilang Intel bagi menanam kira-kira 115 batang pokok di laluan basikal dekat Bayan Lepas yang disifatkannya sebagai ‘aset’ MBPP.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI