Penang Green Carnival 2018 semai kesedaran penjagaan alam sekitar ke arah negeri hijau

Admin

PERAI – Penganjuran Penang Green Carnival 2018 bukan sahaja dapat memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar tetapi juga menyemai kesedaran betapa pentingnya penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, ketika berucap pada majlis perasmian karnival berkenaan di perkarangan tempat letak kereta D’Park Auto-City dekat Juru, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, setiap pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini harus mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar agar generasi akan datang mampu menikmati lebih banyak manfaat.

“Malaysia menandatangi perjanjian alam sekitar di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Persidangan Kemuncak Bumi pada tahun 1992 di Rio de Janeiro yang mana salah satu usaha adalah melalui Agenda 21, penekanan terhadap pembangunan yang seimbang dan lestari.

“Saya faham bahawa sesuatu pembangunan yang dilaksanakan harus mempunyai nilai ekonomi kerana tanpa nilai ekonomi masyarakat tidak akan berminat tetapi setiap pembangunan itu tidak boleh sehingga menjejaskan alam sekitar,” ujarnya.

Hadir sama pada carnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 Ogos itu, Pengarah Urusan Auto-City, Gary Teoh, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); wakil-wakil penaja dan ramai lagi.

Selain pameran, turut berlangsung pada karnival berkenaan juga adalah pertandingan pertunjukan fesyen yang menggunakan material yang dikitar semula, larian ria, forum berkaitan alam sekitar, pertandingan mewarna kanak-kanak cabutan bertuah dan banyak lagi acara menarik yang lain.

Phee Boon Poh melepaskan peserta larian ‘Eco Power’ sempena Karnival Penang Green 2018 baru-baru ini

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu menjelaskan, untuk tujuan menjaga alam sekitar, Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif untuk mengharamkan penggunaan beg plastik bermula 1 Januari 2019.

“Saya sedar langkah ini kurang popular namun saya bersedia untuk menghadapi akibatnya kerana saya tidak ada pilihan lain selain menjaga kepentingan masyarakat dan negara.

“Justeru, sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan di bawah portfolio alam sekitar, saya akan memastikan hasrat Pulau Pinang untuk menjadi negeri hijau pertama di negara ini akan menjadi kenyataan dan menjadi inspirasi kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.

Teks & gambar: SUNARTI YUSOFF