Exco seru pemohon RMM kemas kini status untuk tawaran rumah

Admin
188ab73a 43b6 416f ac13 65899ad82e4b

GEORGE TOWN – Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo mengingatkan kepada 42,160 pemohon projek perumahan melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LMNPP) agar sentiasa mengemas kini status masing-masing.

Katanya, sehingga 3 April lalu, hanya 8,135 pemohon atau 19.30 peratus daripada jumlah tersebut berada dalam status yang telah dikemas kini.

“Ini bagi memastikan pemohon masih dalam keadaan aktif agar penawaran projek dapat dilakukan termasuk memaklumkan segala perubahan sekiranya berlaku, contohnya dari segi pendapatan, lokasi, projek yang berminat dan lain-lain.

“Sejak September 2023 hingga April ini pula, LMNPP telah mengadakan mesyuarat pemilihan bagi pemohon-pemohon yang layak untuk ditawarkan unit Rumah Mampu Milik (RMM) daripada Jenis A (RM42,00), Jenis B (RM72,500) dan Jenis C (maksimum RM300,000).

“Mengikut pecahen, seramai 2,722 orang yang diluluskan adalah pemohon bagi Jenis A, manakala Jenis B dan Jenis C masing-masing seramai 571 dan 1,349,” ujarnya dalam satu sidang media di Komtar semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar LMNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Ketua Pegawai Bisnes LMNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar.

Dalam perkembangan lain, Sundarajoo memaklumkan bahawa sehingga 3 April, LMNPP sudah meluluskan 47 projek penyelenggaraan melibatkan dana RM9,206,448.50 di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

“LMNPP juga kini telah bergerak ke arah digital, jadi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Persatuan Penduduk (MC) bolehlah melakukan permohonan dalam talian.

“Sejak tahun 2013 hingga April 2024 juga, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM78.8 juta untuk TPM80PP.

“Jumlah tersebut adalah meliputi 845 projek meragkumi naik taraf dan menukar lif (450) penukaran tangki (290) manakala baki adalah penukaran bumbung, mengecat semula, menurap tar dan penyelenggaraan lain,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

Tambahan daripada itu, dimaklumkan bahawa Kemenerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menyalurkan dana berjumlah RM21,175,800 yang memberikan manfaat kepada 51 projek perumahan awam dan swasta di Pulau Pinang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING