Kon Yeow zahir hasrat jadikan Pulau Pinang ‘tanah ilmu’

Admin
img 20240405 wa0094

PERMATANG PAUH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan harapan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘tanah ilmu’, di samping penyumbang ekonomi terbesar negara.

Beliau berkata, bagi memenuhi maksud tersebut, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif memperkasakan Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi (iBITA).

“Ini adalah bagi meringankan kos perbelanjaan sepanjang pengajian khususnya kepada pelajar-pelajar sesi kemasukan pertama ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Bagi bantuan iBITA, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM2.4 juta sehingga September 2023 demi memudahkan anak-anak kelahiran Pulau Pinang untuk menyambung pelajaran,” katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani bersama Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim dekat Pusat Islam UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh di sini sebentar tadi.

img 20240405 wa0102

img 20240405 wa0100

img 20240405 wa0097

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Nik Nasarudin Mohd. Zawawi; Ketua Setiausaha Perbendaharan, Datuk Johan Mahmood Merican serta ramai lagi.

Menurut Kon Yeow, dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai hab bakat pada peringkat global, Kerajaan Negeri meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap pembangunan modal insan dengan mengambil inisiatif memperkasakan Tabung Amanah Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang.

“Sehingga tahun lalu, sebanyak RM2.9 juta telah disalurkan kepada 1,303 pelajar tabung amanah ini.

“Terdapat beberapa faedah yang diperoleh oleh pelajar melalui tabung amanah ini yang mana salah satunya adalah pinjaman diberikan akan bertukar kepada biasiswa sekiranya peminjam berjaya mendapatkan Ijazah Kelas Pertama mengikut IPT masing-masing,” jelasnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah membelanjakan sebanyak RM5.2 juta kepada 5,000 pelajar yang tergolong dalam kategori Skim Permulaan IPT, dan RM15.5 juta kepada 4,000 penerima Skim Dermasiswa yang berkelayakan pada tahun ini.

“Malah, ZPP juga telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta melalui bantuan Skim Zakat Pakaian Seragam Kembali Ke Sekolah yang memberikan manfaat kepada 19,799 anak-anak yang memerlukan di Pulau Pinang,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar dalam ucapan beliau selepas itu mengulangi komitmen untuk membantu negeri Pulau Pinang meningkatkan infrastruktur serta memberi perhatian terhadap beberapa projek mendesak terutamanya usaha membasmi kemiskinan tegar.

“Keduanya, adalah projek-projek kepentingan rakyat seperti gerai, restoran dan kompleks perniagaan kecil yang menyantuni 70 peratus rakyat kita yang kebanyakannya dalam kalangan kelas bawahan.

“Saya ucapkan terima kasih kerana di Pulau Pinang telah ada permulaan, dan saya menggesa Kerajaan Negeri, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Ekonomi dan Perbendaharaan akan cuba berikan tekanan ini supaya tidak ada masyarakat yang berasa tersisih,” ulasnya.

Anwar memberitahu bahawa beliau juga memberi perhatian kepada kenaikan gaji penjawat awam yang akan diumumkan sebelum akhir tahun ini.

“Berita baik ini akan diumumkan beberapa bulan akan datang atau paling lewat pada pembentangan belanjawan tahun ini,” katanya.

Selain berbuka puasa, Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan pelajar sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS