Exco seru sambut Deepavali secara bertanggungjawab

Admin

DATUK KERAMAT – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyeru agar sambutan Deepavali kali ini dirayakan dalam suasana lebih bertanggungjawab.

 

 

Beliau berkata, walaupun diraikan dalam suasana penuh kemeriahan, namun prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dipatuhi memandangkan Pulau Pinang berada dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

 

“Esok hari Deepavali, suasana pasti gembira tetapi kita masih dalam tempoh memerlukan pematuhan terhadap SOP, jadi tidak boleh adakan perayaan besar-besaran dan sebagainya.

 

 

“Kita nak raikan ia (Deepavali) secara bertanggungjawab, itulah pesanan saya dan saya percaya kita mampu melakukannya.

 

 

“Untuk itu, kita juga perlu lebih tegas sebagaimana pesanan saya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memastikan semua SOP dipatuhi,” ujar beliau semasa berucap pada Program Pemberian Bakul Makanan Sempena Hari Deepavali Kepada Pesakit dan Kakitangan Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi tadi.

 

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Perubatan) HPP, Dr. Ibrahim Tahir  Naosherwan Anwar dan wakil-wakil Pertubuhan Hindu Dharma Mamandram Malaysia.

 

 

Pada program tersebut, Jagdeep turut menyampaikan sumbangan bantuan 500 set bakul makanan dan biskut sempena perayaan Deepavali bernilai RM5,000 kepada pesakit dan kaitangan HPP.

 

 

Jagdeep dalam pada itu, menjangkakan kebanjiran pelancong akan berlaku di Pulau Pinang pada minggu ini.

 

 

“Kita mengalu-alukan kedatangan pelancong, namun pemantauan pematuhan SOP tetap perlu diteruskan.

 

 

“Malah, PBT kita juga telah melakukan 2.34 juta pemeriksaan di premis-premis seluruh negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

 

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa tindakan tegas juga bakal diambil kepada kakitangan PBT negeri ini yang masih enggan menerima suntikan vaksin selain daripada alasan kesihatan.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : TAN KEAN MING