Exco tegas tiada pulau ‘keempat’ dibangunkan berhampiran PSR

SUNGAI PINANG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak berhasrat membangunkan pulau ‘keempat’ berhampiran Projek Tambak Laut di Perairan Selatan Pulau Pinang (PSR).

“Tiada rancangan untuk menambak atau menjadikan pulau keempat berhampiran PSR, ia masih sepertimana yang terdapat dalam Pelan Struktur Pulau Pinang 2030.

“Ketika ini, Kerajaan Negeri hanya membangunkan empat projek penambakan iaitu PSR, Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2), penambakan berhampiran Gurney Drive iaitu projek Gurney Wharf dan projek penambakan di kawasan Butterworth oleh Rayston Consortium (Butterworth) Sdn. Bhd.,” ujarnya ketika diajukan pemberita berhubung desas-desus wujud pulau keempat berhampiran PSR di sini hari ini.

Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat berkata bahawa kewujudan pulau keempat berkenaan berkemungkinan diambil daripada Rancangan Struktur Pulau Pinang terdahulu.

“Walau bagaimanapun, kita perlu membuat semakan terlebih dahulu dengan PLANMalaysia mengenai perkara tersebut,” ujarnya lanjut.