Kerajaan Negeri salur RM225,360 tukar empat lif baharu

Admin

SUNGAI PINANG – Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) menyalurkan sejumlah RM225,360 peruntukan dana bagi menukar empat buah lif baharu di Pangsapuri Sinar Bukit Dumbar di sini.

Manakala, bakinya RM150,240 ditanggung penduduk menjadikan nilai keseluruhan penukaran empat buah lif tersebut mencecah RM375,600.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Pulau Pinang mempunyai beberapa tabung penyelenggaraan yang disediakan khusus untuk membantu skim-skim perumahan yang layak di kesemua lima daerah di negeri ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) faham kos untuk menukar atau atau menaiktaraf lif memerlukan kos yang sangat tinggi, begitu juga dengan keutamaan penyelenggaraan kritikal lain seperti tangki air, bumbung dan sebagainya… ia membebankan pihak pengurusan dan penduduk.

“Maka dengan adanya beberapa tabung penyelenggaraan ini, ia membantu untuk meringankan beban penduduk, di mana sejak tahun 2008 hingga 2019 (Disember) Kerajaan Negeri telah menyalurkan sejumlah RM33.05 juta dana untuk membaik pulih skim-skim perumahan di Pulau Pinang.

“Sepanjang tempoh mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, kita menerima sejumlah 227 permohonan membabitkan 380 pelbagai projek penyelenggaraan bernilai RM33.05 juta,” ujarnya pada Majlis Perasmian Lif Baharu di Pangsapuri Sinar Bukit Dumbar di sini pagi ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Pengurusan Perumahan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep ketika berucap turut memberikan perkhabaran gembira bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memberikan komitmen untuk menyelenggara 44 projek kritikal di negeri ini tahun hadapan membabitkan kos RM34.8 juta.

“Pembiayaan ini adalah melalui dua dana penyelenggaraan di peringkat Persekutuan iaitu Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP).

“Dengan kelulusan ini, maka lebih banyak skim-skim perumahan dan projek penyelenggaraan akan menerima manfaatnya, berbanding dahulu penyelenggaraan hanya perlu bergantung kepada peruntukan negeri sahaja” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Mengikut rekod, sejumlah 133 projek penyelenggaraan di seluruh Pulau Pinang telah dirujuk kepada pihak KPKT untuk dipertimbangkan membabitkan kos lebih RM100 juta.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALVIE CHENG