Exco yakin belanjawan Kerajaan Negeri tingkat produktiviti 2017

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap Bajet 2017 Negeri Pulau Pinang mampu merangsang kuasa produktiviti dan membeli rakyat.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu, belanjawan kali ini memperuntukkan sejumlah RM3 juta di bawah Projek Ekonomi Khas seperti projek bantuan peralatan niaga untuk usahawan desa.

Selain itu, katanya, Bajet 2017 turut memperuntukkan sejumlah RM200,000 bagi penganjuran program-program pembangunan modal insan yang berdaya saing untuk usahawan dan warga desa.

” Anjur Seminar Keusahawanan Empower ini pun sebenarnya kerana Kerajaan Negeri berhasrat untuk rangsang kuasa produktiviti para usahawan muda kita di Pulau Pinang.

“Kuasa membeli dan kuasa produktiviti rakyat akan bertambah lemah jika sebuah kerajaan yang ada lebihan kewangan sendiri mengambil sikap menyimpan dan bukan berbelanja lebih.

“Pemberian bonus diawalkan pada bulan Disember adalah contoh Kerajaan Negeri cuba berbelanja lebih, supaya rakyat ada kuasa membeli untuk persiapan Hari Natal dan beli kelengkapan sekolah anak-anak,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ketika merasmikan Siri Kedua Seminar Keusahawanan Empower di Auditorium Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini baru-baru ini.

Pada penganjuran berkaitan, seramai 97 usahawan muda dari pelbagai bidang menyertai siri kedua seminar itu, berbanding siri pertama (30).

Dalam perkembangan berkaitan, Afif memaklumkan bahawa angka pelaburan sektor pembuatan negeri dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini yang direkodkan adalah sejumlah RM3.77 bilion di kedudukan ketiga negara di belakang Johor (RM17.99 bilion) dan Selangor (RM3.82 bilion)