Exco ziarah pesakit HPP sempena Aidilfitri

Admin

GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, baru-baru ini meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan kurma, hamper dan duit raya kepada pesakit-pesakit di Hosiptal Pulau Pinang (HPP) sempena kehadiran Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh beliau kepada 30 kanak-kanak di Wad Onkologi/Nefrologi dan 26 pesakit di Wad Rawatan Jantung .

Turut mengiringi beliau adalah beberapa Pegawai Perubatan HPP di sini. Abdul Malik ketika ditemui memberitahu, ia merupakan tahun keenam beliau melaksanakan program tanggungjawab sosial bagi membantu golongan memerlukan.

Tambahnya, Islam juga mengajar umatnya supaya menziarahi pesakit bagi mengembalikan kegembiraan mereka.

“Apabila sakit, kita telah terputus hubungan dengan kesihatan, jadi untuk menimbal kelemahan jiwa, umat Islam dituntut melawat orang sakit sama ada mereka itu kanak-kanak, orang dewasa atau warga emas.

“Semoga dengan sumbangan kecil yang diberikan ini dapat memberi sinar kegembiraan kepada mereka terutamanya kanak-kanak di sini,” katanya sejurus selepas menziarahi pesakit di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada kakitangan HPP yang banyak membantu sepanjang lawatan tersebut.