Exco rai penghuni Rumah St. Nicholas sempena raya

Admin

REZEKI AIDILFITRI… Seramai 66 penghuni cacat penglihatan dan 67 kakitangan Rumah St. Nicholas dekat Jalan Bagan Jermal di sini diraikan dalam satu majlis ringkas penyerahan duit raya oleh Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Abdul Malik yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata, ia merupakan tahun ke-enam beliau meraikan warga St. Nicholas acapkali tibanya Hari Raya Aidilfitri.

“Dalam kemeriahan kita membuat persediaan untuk beraya, golongan kurang bernasib baik juga tidak dilupakan dan diharap pemberian ini menceriakan sambutan Hari Raya nanti,” katanya yang turut merakamkan penghargaan atas keterbukaan pihak pentadbiran St. Nicholas menerima kunjungan beliau tanpa jemu.

Selain pemberian duit raya, Abdul Malik turut menaja sahur bagi semua penghuni dan kakitangan yang beragama Islam selama sebulan sejak lima tahun lalu.