BERTAM – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan insentif sehingga RM10,000 bagi setiap pemenang pingat emas sekiranya sasaran 60 pingat emas atau lebih berjaya dicapai pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penambahbaikan kadar insentif tersebut merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap kecemerlangan atlet selain menjadi pembakar semangat kepada seluruh kontinjen untuk memberikan prestasi terbaik demi mengharumkan nama Pulau Pinang.
Menurut beliau, bagi pencapaian satu hingga 39 pingat emas, kadar insentif dikekalkan sebanyak RM4,000 bagi setiap pemenang pingat emas.
“Insentif akan meningkat kepada RM6,000 sekiranya kontinjen memperoleh 40 hingga 49 pingat emas; RM8,000 bagi pencapaian 50 hingga 59 pingat emas dan RM10,000 bagi setiap pemenang pingat emas sekiranya sasaran 60 pingat emas atau lebih berjaya dicapai.
“Saya berharap insentif ini akan menjadi pembakar semangat kepada seluruh kontinjen untuk memberikan yang terbaik demi Pulau Pinang.
“Namun, selain jumlah pingat yang dipungut, apa yang lebih penting ialah nilai yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.
“Menanglah dengan rendah hati, kalah dengan bermaruah dan pulang sebagai atlet yang membanggakan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026 di sini sebentar tadi.
Penyerahan tersebut menjadi simbolik kepada bermulanya perjalanan kontinjen negeri Pulau Pinang dalam misi membawa pulang 60 pingat emas pada temasya SUKMA kali ini.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Chef De Mission Kontinjen Negeri ke SUKMA Ke-22 Selangor 2026, Joseph Ng Soon Siang dan ADUN Seri Delima yang juga merangkap Chef De Mission Kontinjen Negeri ke SUKMA Ke-22 Selangor 2026, Connie Tan Hooi Peng.
Selain itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri merangkap Deputy Chef de Mission SUKMA Ke-22 Selangor 2026, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Ahli Jawatankuasa Pengurusan MSNPP merangkap Deputy Chef de Mission SUKMA Ke-22 Selangor 2026, See Swee Sie dan Pegawai Pembangunan Masyarakat merangkap Deputy Chef de Mission SUKMA Ke-22 Selangor 2026, Rohana Yusof turut hadir.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kemajuan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui pencapaian ekonomi dan pembangunan fizikal, sebaliknya turut bergantung kepada keupayaan melahirkan modal insan yang berdisiplin, berintegriti, berdaya saing serta mempunyai semangat juang yang tinggi.
Tambah beliau, nilai-nilai tersebut dibentuk menerusi sukan dan selari dengan aspirasi Visi Penang2030 dalam melahirkan masyarakat yang berkualiti.
“Seiring kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang cemerlang dalam industri, inovasi dan pelaburan, kita juga mahu budaya kecemerlangan yang sama diterjemahkan dalam arena sukan.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh ekosistem pembangunan sukan melalui kemudahan latihan berkualiti, pembangunan bakat pada peringkat akar umbi serta kerjasama erat antara MSNPP, persatuan sukan, institusi pendidikan dan sektor swasta,” ujarnya.
Pada masa sama, Kon Yeow turut mengingatkan atlet bahawa bendera negeri yang diterima bukan sekadar lambang Pulau Pinang, malah merupakan amanah untuk membawa maruah negeri di pentas SUKMA.
“Bertandinglah dengan penuh keyakinan, disiplin dan semangat berpasukan.
“Hormati setiap lawan, patuhi segala peraturan pertandingan serta tunjukkan integriti dan semangat kesukanan yang menjadi kebanggaan negeri.
“Saya yakin, walaupun persaingan pada SUKMA kali ini amat sengit, kontinjen Pulau Pinang memiliki kekuatan tersendiri melalui semangat kebersamaan, kepercayaan antara atlet, jurulatih dan pegawai serta kesungguhan untuk berjuang sebagai satu pasukan, berjuang sebagai satu negeri,” katanya.
Pada SUKMA Ke-22 Selangor 2026, kontinjen Pulau Pinang akan beraksi dalam kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan dengan sasaran membawa pulang 60 pingat emas.
Justeru, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada MSNPP, persatuan sukan negeri, jurulatih, pegawai, ibu bapa, penaja serta seluruh pasukan sokongan yang bertungkus-lumus membuat persiapan kontinjen negeri.
“Saya mendoakan agar kontinjen Negeri Pulau Pinang dikurniakan kesihatan, keselamatan dan kejayaan sepanjang temasya SUKMA Ke-22 Selangor 2026.
“Eyes on Gold. Pulau Pinang Bersedia Menggegar SUKMA Ke-22 Selangor 2026,” katanya penuh semangat.
Sementara itu, Zi Sen memberitahu bahawa kontinjen negeri Pulau Pinang mempertaruhkan 886 orang yang terdiri daripada atlet, jurulatih dan pegawai-pegawai yang bakal menggalas cabaran memburu pingat pada temasya kali ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa segala persiapan berkaitan penginapan atlet telah diuruskan lebih awal sebaik sahaja lokasi pertandingan bagi setiap acara dimuktamadkan.
Menurut beliau, kontinjen Pulau Pinang telah menyusun penempatan atlet di lokasi penginapan yang berhampiran dengan tempat pertandingan bagi memastikan kelancaran pergerakan serta mengurangkan keletihan sepanjang temasya.
“Walaupun penganjuran SUKMA kali ini dilaksanakan dengan pendekatan penjimatan kos, Kerajaan Negeri Selangor masih menyediakan elaun tertentu kepada kontinjen yang bertanding.
“Di pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula, kita akan menambah elaun bagi penginapan serta makanan dan minuman untuk memastikan kebajikan atlet terus terpelihara,” ulasnya.
Beliau mwmberitahu bahawa semua persiapan kini berada pada tahap terbaik, dan kontinjen Pulau Pinang bersedia sepenuhnya untuk mengharungi cabaran di SUKMA Ke-22 Selangor 2026.
Sebelum itu, Heng Hua yang turut menyampaikan ucapan telah meniupkan kata-kata semangat kepada para atlet agar turun ke gelanggang dengan penuh keyakinan, keberanian dan semangat juang yang tinggi.
Beliau menegaskan bahawa penyertaan di SUKMA bukan semata-mata untuk memburu pingat, sebaliknya menjadi medan membuktikan kesungguhan, keberanian serta disiplin setiap atlet ketika beraksi.
“Kemenangan sebenar bukan hanya diukur dengan berdiri megah di atas podium, tetapi apabila setiap atlet meninggalkan gelanggang dengan rasa bangga kerana telah memberikan yang terbaik, berani menghadapi cabaran dan berjuang tanpa mengenal erti putus asa,” katanya.
SUKMA Selangor Ke-22 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan menampilkan penyertaan kira-kira 10,000 atlet untuk memburu pingat dalam 37 jenis sukan dengan ratusan acara pingat yang dipertandingkan.




Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS