GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol ditamatkan perkhidmatan sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu dimakluman oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.
“Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri memutuskan bahawa kedudukan Fahmi Zainol sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri ditamatkan berkuat kuasa serta-merta, hari ini 4 Mac 2026.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Yang Berhormat (YB) Fahmi awal pagi tadi, dan beliau menerima keputusan ini dengan baik,” katanya.
Menurut Kon Yeow, cadangan penggantian Ahli MMK baharu akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ramli Ngah Talib untuk mendapatkan perkenan pada petang ini.
“Setelah mendapat perkenan, Pejabat Ketua Menteri akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengumumkan pelantikan Ahli MMK baharu bagi mengisi kekosongan tersebut.
“Memandangkan YB Fahmi mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka calon pengganti juga dicadangkan daripada parti yang sama,” jelasnya lanjut.
Mengulas mengenai kemungkinan rombakan portfolio, Kon Yeow menyatakan bahawa perkara itu akan diumumkan sekiranya terdapat sebarang pindaan, iaitu pada hari Ahli MMK baharu mengangkat sumpah jawatan yang dijangka berlangsung dalam minggu ini.
Menjawab persoalan media mengenai mengapa tindakan sama tidak diambil terhadap Timbalan Ketua Menteri I yang kini berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau menjelaskan perkara itu tertakluk kepada keputusan parti yang diwakili individu berkenaan.
“Dalam kes ini, Setiausaha Agung PKR, (Datuk Dr.) Fuziah Salleh, telah mengemukakan surat rasmi memohon agar Fahmi digantikan daripada jawatan Exco.
“Saya menghormati keputusan parti berkaitan memandangkan setiap parti berhak membuat pertimbangan berdasarkan pelbagai faktor dan keutamaan masing-masing.
“Justeru, keputusan ini diambil selaras dengan permohonan parti tersebut,” jelasnya.
Fahmi yang merupakan Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi didakwa di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.
Fahmi walau bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar: SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS