Fakta jawab tuduhan tidak berasas

Oleh: YAP LEE YING

GEORGE TOWN – Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait baru-baru ini menggariskan lima fakta berkaitan dengan tuduhan tidak berasas pembelian kereta Mercedes-Benz S300L untuk YAB. Ketua Menteri Pulau Pinang di sini.

Dalam kenyataan akhbar beliau, fakta-fakta dinyatakan adalah sebagaimana berikut :

PERTAMA :
— Kelayakan Ketua Menteri Pulau Pinang memang berhak menggunakan dua buah kereta iaitu Mercedes-Benz S400 dan Mercedes-Benz S300.

— Beliau kini menggunakan sebuah kereta sahaja iaitu Mercedes-Benz S300L dengan harga RM298,263.75 berbanding dengan harga biasa RM657,218.00.

— Perlu ditegaskan bahawa kereta Toyota Camry 2.5 yang digunakan Ketua Menteri telah diperuntukan kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Maktar Shapee.

KEDUA :
— Tuduhan bahawa diskaun RM100,000 yang diberikan untuk kereta adalah daripada Tan Seri Tan Kok Ping adalah satu fitnah sama sekali.

— Diskaun tersebut adalah dari pembekal Mercedes-Benz di seluruh Malaysia, bukan oleh ‘dealer’ Mercedes-Benz dan tawaran ini diberikan kepada semua yang ingin membeli Mercedes-Benz S300L keluaran tahun 2012.

KETIGA :
—Pada peringkat awal, Kerajaan Negeri sememangnya bercadang untuk membeli kereta Mercedes-Benz kepada 15 EXCO (termasuk Ketua Menteri) dan Speaker DUN kerana ciri keselamatan dan daya tahan kereta. Bagaimanaapun, cadangan tersebut tidak tercapai kerana kos cukai (sales tax & eksais duti) yang tinggi dan urusan bagi mendapatkan pengecualian cukai tidak diperoleh.

— Tambahan pula, pembekal Mercedes-Benz tidak dapat memberikan jaminan bertulis bahawa tempahan kereta boleh dibatalkan sekiranya pengecualian cukai tidak dapat diperoleh.

Ketua Menteri dan Ahli-ahli EXCO e n g g a n  menggunakan kereta Mercedes-Benz yang dibeli dengan bayaran penuh cukai serta tanpa ‘fleet discount’ sepertimana dilakukan Kerajaan Negeri-negeri lain sebelum ini kerana kosnya terlalu tinggi.

—Prosedur permohonan untuk pengecualian cukai adalah pemohon mesti membeli kereta dahulu dengan mengeluarkan pesanan kerajaan dan kemudiannya barulah membuat permohonan pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam Di Raja Malaysia. Oleh itu, Kerajaan Negeri juga mahu pembekal memberikan jaminan akan mengambil balik kereta tanpa bayaran oleh Kerajaan Negeri sekiranya pengecualian cukai gagal diberikan. Pembekal enggan berbuat demikian untuk 15 buah kereta.

—Oleh itu, pembelian 15 kereta Toyota Camry diteruskan untuk Ketua Menteri, Ahli-ahli EXCO dan Speaker. Hanya selepas 15 buah kereta Toyota Camry diserahkan pada 31.10.2013, barulah pembekal kereta Mercedes-Benz memberikan surat jaminan yang diperlukan tetapi hanya untuk sebuah kereta Mercedes-Benz S300L. Selepas itu, barulah Mesyuarat EXCO Pulau Pinang memutuskan secara sebulat suara untuk membeli sebuah kereta Mercedes-Benz S300L pada 20 November 2013.

KEEMPAT :
— Berdasarkan pengecualian cukai yang diperoleh dan perbezaan besar di antara harga asal RM657,218.00 dengan harga tanpa cukai dan diskaun RM298,263.75 atau pun pengurangan sebanyak RM358,954.25 atau 55 peratus, ia tidak banyak berbeza dengan harga kereta lama Mercedes-Benz S320L yang dibeli 18 tahun dulu pada 4 September 1995 iaitu sebanyak RM271,331.22.

— Tambah pula, kereta jenama Mercedes-Benz sememangnya diketahui umum dan terkenal dengan daya tahan lama serta penggunaan kereta Mercedes-Benz S320L yang lama boleh diguna dengan kos penyelenggaraan lebih rendah. Sebagai perbandingan kos penyelenggaraan kereta Perdana Executive sebagai contoh, kereta PAC 77 yang telah dibeli pada 14 Oktober 2004 dengan harga RM117, 026.36, kos penyelenggaraan untuk sembilan tahun pertama sehingga 2013 adalah RM178,105.10 iaitu lebih tinggi daripada harga pembelian asal RM117,026.36. Ini amat merugikan Kerajaan Negeri.

—Bagi Mercedes-Benz S320L yang dibeli pada 4 September 1995 dengan harga RM271,331.22, kos penyelenggaraan adalah sebanyak RM110,000 untuk tempoh sembilan tahun pertama. Tambahan pula, kereta Mercedes-Benz masih mempunyai nilai terpakai (second hand value) yang baik.

KELIMA :
— Kereta baru Mercedes-Benz S300L tersebut dibeli semata-mata adalah kerana pengecualian cukai serta diskaun sebanyak 55 peratus yang diperoleh.

— Tanpa diskaun 55 peratus itu, pembelian tidak akan dibuat. — Kereta baru Mercedes-Benz S300L akan menjadi milikan Kerajaan Negeri selama-lamanya dan mempunyai ‘economic value for money’ dari segi jangka masa panjang. Ini adalah kerana Ketua Menteri, Y.A.B. (Tuan) Lim Guan Eng telah menyatakan tidak akan membeli untuk sendirinya selepas bersara.